MUKAH 21 Mac - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu 13,366 pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian turun mengundi parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadual berlangsung 29 Mac ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kesemua pengundi berkenaan perlu memberi kemenangan dengan majoriti yang besar kepada calon BN, Yussibnosh Balo, 48, sekali gus menghilangkan wang taruhan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau berkata, sekiranya calon BN menang dalam pilihan raya kali ini, kerajaan negeri dan Pusat memberi jaminan lebih banyak projek pembangunan akan dilaksanakan di Balingian dan Mukah.
"Saya mengharapkan kemenangan majoriti yang lebih besar berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011 lalu sehingga menghilangkan wang taruhan calon pembangkang yang diwakili PKR.
"Penduduk di Balingian perlu mengetahui sekiranya Yussibnosh menang dalam pilihan raya ini, kerajaan BN akan berusaha memajukan lagi bahagian Mukah yang menjadi pusat pembangunan Koridor Sarawak Bagi Tenaga Diperbaharui (SCORE)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tellian Tengah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu; Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah.
Turut kelihatan, Ahli Parlimen Mukah, Datuk Dr. Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah dan Yussibnosh.
Dalam majlis tersebut, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut mengumumkan peruntukan RM19 juta bagi membina bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian.
Terdahulu Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, sekiranya wakil rakyat yang dipilih bukan daripada parti BN maka sukar untuk kerajaan negeri dan Pusat menyalurkan peruntukan.
Beliau berkata, kesemua pengundi berdaftar di DUN tersebut harus bijak memilih calon iaitu daripada parti BN bagi meneruskan usaha pembangunan dijalankan.
"Pengundi di Balingian perlu memilih BN untuk kesinambungan pembangunan di sini malah saya sebagai Ketua Menteri memberi jaminan lebih banyak aktiviti perindustrian akan dilakukan di masa akan datang," katanya
"Walau bagaimanapun kesemua pembangunan itu akan terlaksana sekiranya pengundi memilih calon BN, bukan calon daripada parti pembangkang," katanya.
PRK DUN Balingian akan diadakan pada 29 Mac ini dalam persaingan satu lawan satu iaitu antara calon BN dengan PKR yang diwakili ahli perniagaan, Abdul Jalil Bujang, 55.
0 Response to "BN Mahu Majoriti Besar Di Balingian"
Catat Ulasan