KAJANG 21 Mac - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata suasana terbuka kerajaan terhadap kebebasan media sebenarnya memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan pandangan alternatif sama ada daripada media sosial ataupun media arus perdana.
Beliau berkata, kerajaan melalui agensi berita miliknya sendiri telah bersikap terbuka menjemput pemimpin pembangkang untuk bersama-sama berkongsi pandangan dalam pelbagai rancangan yang disiarkannya.
Ia bertujuan membolehkan rakyat menilai dan mendapatkan maklumat tanpa terlalu bergantung kepada media alternatif, katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Ceramah di Bilik Gerakan Utama NGO Sekretariat Selangor (Hulu Langat) di sini malam tadi.
Beliau memberi contoh langkah membenarkan siaran langsung sesi persidangan Parlimen melalui televisyen arus perdana sebagai antara transformasi kerajaan ke arah lebih telus dan terbuka.
"Ini sebahagian transformasi kerajaan untuk pergi ke satu tahap lebih terbuka. Dan (melaluinya) kerajaan yakin rakyat lebih bijak untuk menilai serta percaya pada kebebasan media," katanya.
Ahmad Shabery yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata pendekatan itu berbeza dengan sikap pembangkang yang kononnya memperjuangkan kebebasan media, tetapi sebaliknya masih menghalang liputan media arus perdana.
Program itu diadakan bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang, yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun berhadapan dengan calon PKR yang juga Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 23 Mac ini.
0 Response to "Kebebasan Media Beri Rakyat Pandangan Alternatif"
Catat Ulasan