SEPANG 9 Mac - Trek rekod baik penerbangan Malaysia Airlines (MAS) sebelum ini dari segi keselamatan menimbulkan rasa terkejut apabila pesawat MH370 dilaporkan hilang awal pagi semalam.
Salah seorang ahli keluarga Ahmad Nazmi Rosli memberitahu beliau berasa terkejut dengan berita yang diterima berikutan berpendapat MAS mempunyai trek rekod yang baik.
"Saya terkejut. Begitu juga dengan majoriti rakyat Malaysia kerana MAS sebelum ini mempunyai rekod keselamatan yang baik," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Ahmad Nazmi hadir bersama adiknya Nur Nadzirah Rosli dan ahli keluarga lain dari Ipoh jelas gelisah kerana tiada apa-apa khabar berita mengenai pesawat terbabit. Pewaris ini mempunyai ikatan kekeluargaan dengan penumpang Dina Ramli dan Mohamed Yunus Ramli bersama ibu mereka Bibi Nazli dan Mohd Hassim yang dikatakan pergi ke Beijing untuk bercuti.
Dalam masa sama seorang abang kepada anak kapal Nor Hafizan Ayub memberitahu anak kepada adiknya itu masih belum dimaklumkan mengenai berita kehilangan berkenaan.
"Saya adik kepada Junaidi Mohd Kassim yang berkerja di kabin krew dan beliau telah berkhidmat bersama MAS sejak lebih 15 tahun. Anak-anak masih belum tahu perkara ini," ujar beliau yang membawa 4 ahli keluarga lain untuk dihantar MAS ke lokasi yang belum diketahui.
Penerbangan MH370 ke Beijing itu dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi semalam. Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal merangkumi rakyat 14 negara, termasuk 38 rakyat Malaysia.
Sementara pada jam kira-kira 6.25 petang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan memasuki Anjung Tinjau untuk menemui anggota keluarga penumpang dan anak kapal. Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Dalam masa sama beberapa minit kemudian Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang baru tiba dari Berlin turut kelihatan berada di sekitar pintu masuk ke Anjung Tinjau.
Najib ketika bercakap kepada pemberita memberitahu kawasan mencari pesawat MH370 diperluaskan di kawasan terakhir ia dilaporkan hilang dari radar. Malah bilangan aset pertahanan juga ditambah dan dikerahkan ke kawasan mencari.
Malaysia juga menjalankan kerjasama dengan negara yang terbabit seperti China dan Vietnam serta menerima bantuan daripada Amerika Syarikat dan Singapura dalam operasi mencari.
Sehubungan itu Najib juga berkata, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan dan rakyat diminta untuk tidak mempercayai sebarang spekulasi.
via : rakyatnews.my
0 Response to "Keluarga Terkejut Pesawat MAS Hilang"
Catat Ulasan