PKR Janji Selesai Masalah Banjir Selepas Pegang 2 Penggal

alt

KAJANG 12 Mac - Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berjanji untuk menyelesaikan masalah banjir yang melanda Kajang saban tahun sungguhpun parti tersebut telah mewakili kawasan tersebut selama dua penggal.

Ujarnya, beliau sedar sistem perparitan Kajang telah berusia lebih tiga dekad tidak lagi mampu menampung penambahan pesat populasi bandar tersebut yang semakin kritikal.

"Ini kerana spesifikasi saliran sedia ada dibuat sejak 20-30 tahun lalu, sebelum pertambahan populasi pada kadar yang ada sekarang.

"Sudah tentu selepas 30 tahun, pembangunan pesat, kapasiti saliran itu menjadi tidak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan manifesto Pakatan Rakyat (PR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang di sini, hari ini.

Hadir sama pada program tersebut adalah Presiden PKR yang juga calon PR pada PRK Kajang, Datin Seri Wan Azizah Ismail.

Mengulas lebih lanjut, kejadian banjir di Kajang berulang antara 2008,2011 dan 2011 membantut pertumbuhan ekonomi kawasan sekitar.

Beliau kemudiannya menyatakan janji dari PKR untuk menyelesaikan masalah tersebut sekiranya Wan Azizah menang pada PRK berkenaan walaupun bekas penyandang ADUN Kajang Lee Chin Cheh dari parti sama.

"Perbelanjaan untuk naik taraf infrastruktur itu tinggi, sebab itu masalah banjir kita tidak spesifik kerana perlu mengikut kemampuan Adun.

"Saya yakin jika calon kita diberi peluang menjadi Adun, saya yakin beliau akan mengenal pasti 2-3 kawasan kritikal untuk dinaik taraf kemudahannya," katanya lagi.

Wan Azizah dicalonkan sebagai calon PKR pada saat akhir selepas suaminya digugurkan dari dicalonkan ekoran didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan.

Pertandingan di Kajang menyaksikan satu lawan satu antara Wan Azizah dan Datin paduka Chew Mei Fun dari BN setelah kesemua individu yang menentang pencalonan Anwar di Kajang turut mengundurkan diri.

 

0 Response to "PKR Janji Selesai Masalah Banjir Selepas Pegang 2 Penggal"

Catat Ulasan