KAJANG, 13 Mac - Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menyelar sikap parti lawan yang dikatakan mengamalkan sandiwara dan bermuka-muka ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Beliau berkata, jentera parti itu sanggup menggunakan 'topeng muka' berbeza mengikut tempat atau majoriti kaum yang ditemui semata-mata untuk meraih undi.
"Kalau di depan orang Cina mereka akan bercakap soal memperjuangkan kaum itu, begitu juga kalau di depan kaum India.
"Di depan orang Melayu pula mereka akan cakap kita jangan beri peluang kepada kaum lain, dan ini tindakan tidak berprinsip yang harus ditolak," katanya sinis.
Beliau berkata sikap seperti itu bukan sahaja mempersenda intelektual pengundi tetapi juga menunjukkan parti lawan tidak ikhlas dalam memperjuangkan nasib pelbagai kaum di kawasan itu.
Shahrizat ditemui pemberita di Taman Sekamat di sini selepas melawat Malek Man pesara polis yang kini mengalami sakit tua dan tidak lagi mampu melakukan pekerjaan sebagai pemandu teksi selepas pencen daripada perkhidmatan itu.
Kunjungan itu antara empat program Ketua Wanita Umno itu yang turun padang bagi membantu calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun dan jentera parti berkempen bagi memastikan kemenangan di Kajang.
Mengulas lanjut, Shahrizat berkata keadaan itu berbeza dengan pendekatan yang digunakan BN yang mengamalkan prinsip sama rata dalam agenda membela nasib semua kaum.
Tegas beliau setiap parti yang bertanding sewajarnya berkempen dengan lebih berprinsip kerana sikap sedemikian akan menyerlahkan keikhlasan dalam memperjuangkan nasib pengundi dan penduduk Kajang.
Pilihan raya kecil pada 23 Mac itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Chew dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
0 Response to "Shahrizat : Pemimpin PKR Bermuka-Muka Tagih Undi Rakyat"
Catat Ulasan