Linda Rafar tabah diduga

HATI ibu bapa mana yang tidak sedih apabila melihat anak yang dikasihi dalam keadaan sengsara dan menderita. Sudah tiga minggu anak keduanya, Rezaimen Keifli, 12, hasil daripada perkahwinan pertama bersama bekas suami Keifli Othman terlantar di wad Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).


Tanpa ada perkhabaran mengenai penyakit yang dihidapi, pelakon dan penyanyi Linda Rafar, 36, masih setia menanti jawapan daripada doktor. Biarpun perit untuknya, ibu kepada empat orang anak ini cuba menguatkan diri hadapi semua itu.


Foto-foto yang dikongsi di laman Instagram juga jelas menunjukkan dia seorang ibu yang sangat tabah dan sabar hadapi dugaan.


Wartawan Hits, GARRET DAWUM cuba menghubungi ibu kepada empat orang anak itu untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan penyakit anaknya.


Linda Rafar tabah diduga


HITS: Bolehkah ceritakan lebih lanjut tentang penyakit yang dihidapi oleh anak anda?


LINDA: Setakat ini saya tidak boleh berkongsi maklumat mengenai keadaan anak saya kerana doktor sedang membuat pemeriksaan lanjut bagi mencari punca penyakitnya itu. Saya dan keluarga masih menunggu laporan daripada pihak hospital. Sebenarnya saya masih tidak tahu penyakit sebenar anak saya. Sebagai ibu saya sendiri tertanya-tanya apakah punca sebenar keadaannya.


Sudah berapa lama anak anda ditahan di wad?


Sudah tiga minggu. Sekarang saya dan ayahnya (Keifli) bergilir-gilir untuk menjaganya. Saya di sebelah siang manakala ayahnya pula di sebelah malam. Saya juga bersyukur kerana ahli keluarga sentiasa datang melawat dan memberi sokongan untuk saya dan anak. Selain itu, rakan-rakan juga sudah ada yang datang melawat.


Sebelum dirawat di hospital, bagaimana keadaan anak anda?


Sebenarnya, anak saya sudah sebulan mengalami sakit perut. Dia selalu mengadu perutnya senak sehingga sukar untuk bernafas. Pada mulanya, ingatkan cuma sakit perut biasa tetapi apabila perkara itu berulang kali berlaku, saya terus menghantarnya ke hospital dan sudah banyak hospital kami pergi. Semua katakan mereka tidak tahu apa punca sebenar penyakit anak saya.


Bagaimanakah perasaan anda ketika mendapat tahu perkara tersebut?


Pada mulanya saya sukar menerima keadaan yang menimpa anak saya, namun saya anggap ini adalah ketentuan Allah dan harus tabah mengharungi situasi yang melanda. Sebelum ini memang tiada tanda menunjukkan dia akan mengalami sebarang penyakit sehinggalah dia selalu mengadu sakit perut. Sekarang saya hanya berdoa untuk kesihatan anak saya. Menangis setiap hari di sisinya mengenangkan apa yang berlaku.


Semasa dia mengadu sakit, anda ada ambil alternatif lain untuk rawatan?


Jujur saya cakap, saya memang ada pergi untuk buat rawatan secara tradisional. Namun, saya juga hampa apabila orang yang merawat itu tidak tahu punca penyakit anak saya.


Macam mana dengan pelajaran anak pula?


Tahun ini anak saya akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Biarpun masih ditahan di hospital namun dia tetap mengulang kaji pelajarannya di kelas khas yang disediakan HUKM. Saya berharap penyakit itu akan sembuh dan dia pun boleh mengambil peperiksaan itu.


Apa perancangan anda selepas ini?


Kami sekeluarga sudah pun merancang untuk pergi mengerjakan umrah bersama termasuk anak-anak saya. Rancangan ini dibuat sebelum dia (Rezaimen) sakit. Sekarang terpaksa ditangguhkan sementara menunggu dia kembali sihat.


Dalam Instagram, anda dilihat sudah bertudung. Boleh ceritakan penghijrahan ini?


Ya, saya memang sudah bertudung sejak sebulan lalu. Syukur kerana saya diberi kesempatan untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan dalam hidup dan selesa dengan penampilan ini.


Keluarga juga suka melihat perubahan ini dan sentiasa memberi sokongan kepada saya. Sememangnya, sudah lama saya ingin berubah ke arah itu sehingga kini Allah sudah membuka hati saya. Saya juga tidak hebahkan perkara itu kepada umum kerana enggan niat saya disalahertikan oleh sesetengah pihak.-Utusan Malaysia

0 Response to "Linda Rafar tabah diduga"

Catat Ulasan