Kuala Lumpur: Seramai 21 rakyat Malaysia terdiri daripada 13 pelajar berusia 10 sehingga 12 tahun bersama 5 guru dan 3 sukarelawan terselamat dalam kemalangan bas di Gidgegannup, Australia Barat yang berlaku jam 8.30 malam tadi (waktu tempatan).
Sukarelawan, Mohd Fikri Mohd Bakri, 51, berkata, kejadian berlaku ketika rombongan pelajar itu dalam perjalanan balik menghadiri Seminar Alam Sekitar dari Bayswater menuju kem penginapan mereka di Lake Leschenaultia.
“Kami singgah membeli makanan di Mirrabooka sebelum terbabit dengan kemalangan kira-kira 30 minit selepas memulakan perjalanan semula,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Menurutnya, punca kemalangan berkemungkinan akibat kabus tebal yang menghadkan jarak penglihatan pemandu bas dan permukaan jalan basah.
“Ketika itu hujan renyai dan bas dalam kelajuan 30 kilometer sejam sebelum bas terbabas dan tersangkut di benteng setinggi 4 kaki. Semua terselamat dan bas tidak terbalik atau jatuh gaung,” katanya.
Katanya, semua pelajar menjalani pemeriksaan di Hospital Diraja, Hospital Princess Margaret dan Hospital Swan District di Perth sebelum semua dibenarkan pulang tengah hari tadi.
0 Response to "21 rakyat Malaysia termasuk 13 pelajar kemalangan di Perth, Australia"
Catat Ulasan