Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempertikaikan tindakan
Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendedahkan keputusan ujian tiga sampel coklat
Cadbury hanya selepas tiga bulan analisis itu dilakukan.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, keputusan itu juga
hanya dimaklumkan secara rasmi selepas maklumat berkenaan bocor dan tersebar
luas melalui media sosial dan ia disifatkan sebagai penganiayaan kepada
pengguna.
Beliau turut mendakwa, pihaknya dimaklumkan masih terdapat
kira-kira 15 produk lain dipercayai mengandungi asid deoksiribonulkleik (DNA)
khinzir namun belum didedahkan KKM kepada umum.
“Kenapa baru sekarang maklumat ini didedahkan sedangkan ujian
dibuat pada Februari lagi.
Dan jika benar ada 15 produk lain turut mengandungi DNA Khinzir,
kenapa masih dirahsiakan?” katanya, semalam.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya Akta Halal yang pernah
dicadangkan kerajaan 15 tahun lalu diwujudkan bagi mengendalikan hal seumpama
ini, bukannya sekadar bergantung kepada Akta Perihal Dagangan 2011.
“Insya-Allah Selasa ini (esok) kami (PPIM) akan panggil semua NGO
(badan bukan kerajaan) Islam untuk bersama menyatakan bantahan serta mengambil
tindakan terhadap Cadbury mewakili seluruh umat Islam di Malaysia.
“Ini kerana mereka gagal memastikan produk yang dihasilkan halal
walaupun sudah mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM).
“Kami juga mahu produk Cadbury disita semuanya, bukan hanya yang
disahkan ada DNA Khinzir kerana mengikut Akta Makanan 1983 pun, jika ada
keraguan boleh sita semua sekali.
Kita tak mahu kelak ada manipulasi untuk tukar pembungkusan atau
sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia (FOMCA) Yusof Abdul Rahman meminta pengeluar coklat itu memberikan
penjelasan kepada orang ramai mengenai keputusan analisis itu jika mereka tidak
tahu mengenainya.
“Isu ini seolah-olah didiamkan."
Jika ujian dilakukan pada Februari, adakah Cadbury juga tidak tahu
mengenainya atau mereka mengambil langkah berdiam diri untuk menyelamatkan
pasaran? Kami mahukan penjelasan. - Harian
Metro
0 Response to "Ada 15 lagi produk Coklat Cadbury kandungi DNA Babi- PPIM"
Catat Ulasan