‎Adun Seberang Takir Bakal Ganti Ahmad Said Sebagai MB Terengganu, Lapor Akhbar






Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman dikatakan bakal menggantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru, lapor akhbar The Star.

Memetik laporan beberapa sumber, akhbar berkenaan berkata, Abdul Razif yang juga anggota exco, diminta untuk bersiap sedia untuk menerima surat pelantikan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sekaligus bermakna beliau perlu berada di Kuala Lumpur untuk menerima surat itu.

Abdul Razif berada di Kuala Terengganu untuk menghadiri mesyuarat exco mingguan pada Rabu.

"Beliau berlepas ke Kuala Lumpur pada sebelah petang. Beliau menerima panggilan dari Putrajaya pada malam Selasa meminta beliau supaya berada di Kuala Lumpur hari ini (Khamis)," kata sumber kepada The Star.

Abdul Razif, 49, merupakan salah seorang daripada dua Adun, iaitu Adun Air Putih, Wan Hakim Wan Ahmad, 45, yang dikatakan akan dilantik menjadi Menteri Besar baru bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said.

Perubahan jawatan menteri besar di Terengganu itu timbul selepas Ahmad menandatangani surat persetujuan bahawa beliau akan memegang jawatan itu hanya selama setahun selepas Barisan Nasional (BN) menang tipis pada pilihan raya umum yang lepas.

BN hanya memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala 15 kerusi dimenangi Pakatan Rakyat yang berjaya memenangi separuh daripada lapan kerusi Parlimen.

Najib memberikan Ahmad tempoh penangguhan selama setahun selepas pilihan raya kerana beliau mahu pemimpin Terengganu yang mempunyai keperibadian yang bersesuaian untuk bersama dengan rakyat.

Sumber Putrajaya memberitahu The Star, Ahmad menandatangani surat itu kira-kira dua minggu selepas pilihan raya umum pada 5 Mei tahun lalu.

Surat yang hanya sepanjang dua perenggan itu berkata sumber menyatakan Ahmad akan meletakkan jawatan sebagai menteri besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri selepas setahun dan pada tarikh yang akan ditentukan oleh Najib.

Sumber di Terengganu berkata, dalam kalangan para anggota exco dan pegawai kanan, mereka amat merasakan akan terdapat menteri besar baru tidak lama lagi.

Mereka turut percaya Ahmad akan mempengerusikan mesyuarat exco terakhir pada Khamis.

Ketika ditemui pemberita, Ahmad bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata,"Tiada komen."

"Beliau cuba yang terbaik untuk menerima keadaan yang tidak dapat dielakkan.

Lagipun, tidak ada MB secara terbuka akan mengesahkan bahawa beliau bakal melepaskan jawatan itu dalam pertengahan penggalnya," kata sumber itu lagi.

- The Malaysian Insider


Ahmad Said enggan ulas isu pertukaran MB

"No Comment". (Tiada komen).

Demikian jawapan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said hari ini apabila diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung Terengganu bakal menerima menteri besar baharu dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai dua nama anggota Dun yang disebut laporan itu calon menteri besar baharu, Ahmad berkata terserah kepada penulis berita tersebut untuk membuat andaian.

"Biarkan dia," katanya yang ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Tasik Kenyir, di sini.

Akhbar itu antara lain menyebut Ahmad yang dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu selepas PRU13 tahun lepas, menandatangani satu surat yang bersetuju untuk mengetuai kerajaan negeri selama setahun sahaja selepas BN hanya memperoleh majoriti mudah 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Laporan yang memetik sumber itu berkata Ahmad menandatangani surat tersebut yang turut mensyaratkan beliau melepaskan jawatan sebagai pengerusi BN Terengganu kira-kira dua minggu selepas PRU13 pada 5 Mei.

Laporan itu menyebut Adun Seberang Takir yang juga Exco Datuk Abdul Razif Abdul Rahman dan Adun Air Putih Wan Hakim Wan Ahmad sebagai calon menteri besar baharu.

- Bernama

* Pertukaran Menteri Besar, Politik Terengganu Kembali Panas





sumber

0 Response to "‎Adun Seberang Takir Bakal Ganti Ahmad Said Sebagai MB Terengganu, Lapor Akhbar"

Catat Ulasan