PETALING JAYA: Kerajaan mendakwa Malaysia memilik salah satu sistem pendidikan terbaik di dunia, bahkan lebih baik berbandimg Amerika Syarikat, Great Britain dan Jerman.
Bagaimanapun, mengikut senarai antarabangsa, dakwaan ini nyata tiada asasnya. Ranking yang dikeluarkan Times Higher Education bagi reputasi antarabangsa pada bulan April menyaksikan Malaysia gagal tersenarai di dalam 100 universiti terbaik bagi kategori institusi kurang daripada 5o tahun.
Singapura, tentunya, tidak menghadapi masalah di dalam mencapai tahap keunggulan dengan Universiti Teknologi Nanyang di tangga ke-5. Pengerusi Badan Bertindak Ibubapa bagi Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berpendapat, penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah menyebabkan perkara ini terjadi.
Beliau memberitahu theantdaily bahawa bagi ranking universiti, salah satu perkara yang dititikberatkan ialah penerbitan kajian di dalam jurnal antarabangsa. Masalah penguasaan bahasa menyulitkan ia dilaksanakan.
“Ini salah satu perkara yang sukar dicapai akibat penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah. Kita kurang yakin dengan kebolehan berbahasa, tidak mampu menulis atau menerbitkan hasil kajian lantas ia memberi kesan kepada ranking kita.
“Jika kita menghasilkan pelbagai kajian di dalam Bahasa Malaysia, kita kurang kemahiran menterjemahkannya ke dalam Bahasa Inggeris.
“Maka lebih baik kita menguasai lingua franca itu daripada mengharapkan kajian diterjemahkan. Sekiranya Bahasa Inggeris lambat dikuasai, kita tidak punyai keyakinan menulis di dalam bahasa itu. Inilah teras permasalahan kita. Kita wajar menanganinya, agar tidak keciciran,” ujar Noor Azimah.
Empat universiti di Asia termasuk di dalam senarai 10 universiti terbaik di dunia termasuk Universiti Sains dan Teknologi Pohang, Korea Selatan di tempat pertama, Institut Sains dan Teknologi Lanjutan Korea di tempat ketiga, Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong di tangga keempat dan Nanyang Singapura di kedudukan kelima.
Ini merupakan tahun kedua di mana universiti di negara kita gagal tersenarai. Pada 2012, Universiti Kebangsaan Malaysia berada di kedudukan ke-98.
Amerika Syarikat dan United Kingdom masing-masing mempunyai satu universiti yang tersenarai di antara 10 terbaik, manakala universiti di India, Arab Saudi dan Iran turut berjaya menempatkan diri pada kedudukan teratas.
Senarai ini dikira lebih setara bagi universiti “muda” tanpa sejarah, tradisi mahupun dana berbanding universiti terkemuka seperti Oxford, Cambridge, Harvard atau Institut Teknologi Massachusetts
Walaupun memperoleh peruntukan besar dengan kementerian pendidikan menerima RM54 bilion tahun ini, di samping RM38.7 bil pada 2013, kegagalan memasuki senarai dunia telah menerima kritikan ahli parlimen pakatan pembangkang.
Ahli parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dilapor menyalahkan fakulti di universiti tempatan yang didakwa mempunyai kualiti rendah sebagai penyebab kegagalan ini.
Zairil berpendapat, universiti yang baik perlu menghasilkan dan mengekalkan bakat berpotensi, di samping menarik bakat-bakat berkualiti dari luar negara. Negara ini, katanya, tidak memiliki tarikan malah menolak keluar kepakaran yang dihasilkannya.
“Perkara pokok perlu diselesaikan bagi mengelakkan universiti di Malaysia terus keciciran,” Zairil dipetik sebagai berkata. Kurangnya autonomi di dalam perlantikan penggerak utama seperti naib canselor turut menyumbang kepada masalah ini, tambahnya.
Zairil juga berkata kegagalan universiti di negara ini, kecuali Universiti Malaya yang ditubuhkan pada 1949, menggambarkan kemerosotan pendidikan tinggi di Malaysia.
Institusi pendidikan tinggi akan kekal tidak kompetitif melainkan perkara asas ditangani, seperti kurangnya kebebasan akademik, campurtangan politik dan kemerosotan kualiti bagi fakulti.
Kemahiran berbahasa Inggeris juga diperlukan kerana jurnal antarabangsa tidak mungkin diterbitkan di dalam Bahasa Malaysia.
- Sonia Ramachandran
The post Lemah Bahasa Inggeris penyebab utama Universiti tempatan merosot teruk appeared first on Media Suara Insan (MSI).
0 Response to "Lemah Bahasa Inggeris penyebab utama Universiti tempatan merosot teruk"
Catat Ulasan