MAS akan diswastakan oleh kerajaan untuk elak kerugian





mas-airbus-a330


JOHOR BAHRU – Kerajaan disaran menimbangkan untuk melepaskan pegangan dalam Malaysia Airlines (MAS) daripada terus menanggung kerugian.



Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, antara pendekatan disarankan ialah penswastaan dan membuka peluang pelaburan kepada pihak berminat termasuk syarikat antarabangsa.



“Saya bersetuju dengan Perdana Menteri sekiranya rintangan besar ini khususnya membabitkan soal kewangan tidak dapat diselesaikan, penyelesaian berhemah perlu dilakukan.



“Isunya kini kebijaksanaan membelanjakan wang rakyat adalah lebih penting daripada hendak terus menjaga air muka iaitu nama MAS sebagai satu entiti negara,” katanya selepas pelancaran Mahkota Tarek, di sini, semalam.



Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mungkin sudah terlewat untuk menyelamatkan MAS sebagai syarikat penerbangan negara yang berdepan situasi bankrap sebagai satu cara untuk menyusun semula syarikat penerbangan negara itu selepas bertahun mengalami kerugian dan konflik pahit dengan kesatuan buruh dalam temu bual dengan The Wall Street Journal (WSJ).



Nur Jazlan berkata, MAS pernah diswastakan pada 1994, namun tidak berjaya menyelesaikan masalah dalamannya yang kemudian dibeli semula kerajaan menerusi pelan pemulihan dari belian bon Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).



“Nama MAS sebagai syarikat penerbangan negara merupakan satu jenama yang kukuh, namun kita perlu fikirkan soal untuk menyelamatkannya sama ada kerajaan dan pekerja MAS suka atau tidak, kita perlu pertimbangkan mengenai pelaburan baharu sekaligus penstrukturan semula.



“Adakah wajar rakyat membayar dan menanggung semua kerugian yang dicatatkan untuk terus mengekalkan MAS?,” katanya.



MAS mencatatkan kerugian bersih RM443.4 juta pada suku pertama di mana insiden tragis MH370 dilaporkan memberi kesan dramatik kerugian tersebut berbanding kerugian RM278.8 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.


via Media Suara Insan (MSI).


 

0 Response to "MAS akan diswastakan oleh kerajaan untuk elak kerugian"

Catat Ulasan