Nyawa Melayang Demi Rakan


PASIR PUTEH – Pelajar pondok Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir, Dewan Beta, Kota Bharu maut selepas nekad menyelamatkan rakan yang lemas ditarik arus ketika mereka mandi bersama di pantai dekat Tok Bali di sini, semalam.
Wan Muhammad Al Amin Ali, 18, berasal dari Kampung Gong Bayor, Besut itu dikatakan cuba menyelamatkan rakannya, Safuan Mohd Nor, 22, dari Kampung Gondang, Ketereh yang mandi sedikit berjauhan daripada kelompok pelajar.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, selepas mendengar Saufan meminta tolong, Wan Muhammad Al Amin terus mendapatkan pelajar terbabit untuk memberikan pertolongan.
“Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi itu, pelajar yang lemas itu sempat ditarik ke kawasan lebih cetek dan selamat selepas diberi bantuan pernafasan tetapi malangnya, Wan Muhammad Al Amin yang membantunya tenggelam akibat keletihan.
“Wan Muhammad Al Amin kemudiannya berjaya ditarik rakan-rakannya ke pantai. Bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia oleh kaki tangan Klinik Kesihatan Cherang Ruku yang dihubungi pengurusan resort,” katanya.
Mohd Kamal berkata, kejadian itu berlaku ketika kumpulan 20 perwakilan pelajar mandi-manda selepas membantu jawatankuasa menjayakan Program Sahsiah Pelajar di resort berdekatan.
“Daripada siasatan awal, kumpulan pelajar terbabit mengambil keputusan untuk mandi di pantai sebelum menamatkan program dan pulang ke pondok,” katanya.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis dan hasil bedah siasat yang dijalankan, dia disahkan meninggal dunia akibat lemas (drowning) dan jenazah mangsa dituntut keluarga pada jam 2.30 petang semalam untuk dikebumikan di Kampung Gong Bayor, Besut, Terengganu.
Madrasah Muhammadiah yang merupakan sekolah tahfiz swasta ditubuhkan sejak 34 tahun lalu mempunyai seramai 110 pelajar berusia dari 13 hingga 25 tahun.
Pengurus resort ketika ditemui berkata, daripada maklumat kumpulan pelajar terbabit, mangsa lemas yang berjaya diselamatkan mengatakan dia tiba-tiba ditarik arus ke dasar.
Katanya, pihak resort sememangnya memberi peringatan mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil oleh penginap sama ada ketika mandi di kolam atau pantai, lapor Sinar Harian.

0 Response to "Nyawa Melayang Demi Rakan"

Catat Ulasan