Penculikan Di Pantai Timur Sabah : Muhyiddin Kecewa Dah Labur RM300 Juta Pada Esscom, Keselamatan Sabah Masih Terancam










Muhyiddin mahu insiden penculikan di pantai timur Sabah ditangani segera
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tindakan segera perlu diambil untuk menangani insiden penculikan di pantai timur Sabah, sekali gus mengelak pihak keselamatan daripada menjadi bahan tempelak masyarakat.

"Memang saya rasa agak kecewa (kerana) selepas beberapa isu sebelum ini maka tertubuhlah Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) dan Esszone (Zon Selamat Timur Sabah) bagi lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan-kawasan keselamatan.

"Tetapi nampak (langkah itu) masih lagi belum berupaya mengekang peristiwa seperti itu berulang," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi empat hari beliau ke Uzbekistan di Tashkent pada Rabu.

Muhyiddin menarik perhatian bahawa susulan insiden pencerobohan perairan dan penculikan sebelum ini, arahan dikeluarkan berhubung keperluan meningkatkan aset dan menggunakan beberapa sistem pemantauan radar untuk memantau pergerakan.

"Ini bidang keselamatan yang diurus di bawah Esscom, Sebab itu bagi saya, lebih segera tindakan diambil untuk menangani perkara itu (isu keselamatan) lebih baik, Kalau tidak nanti akan banyak pihak yang menempelak," katanya.

Dalam insiden terbaharu awal pagi semalam, sekumpulan lelaki bersenjata menculik warga China, Yang Zai Lin, 34, pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar di Pulau Baik yang terletak kira-kira 23 kilometer dari pekan Lahad Datu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata susulan kes seumpama itu dan perbincangan Majlis Keselamatan Negara, arahan telah dikeluarkan supaya memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan perairan berkenaan, yang panjangnya lebih 1,400 km.

"Ia antara yang terpanjang, lautanpun terbuka dengan kawasan Filipina dan pulau-pulau tidak jauh daripada sempadan kita.

"Tapi kita tak boleh jadikannya sebagai satu helah (untuk memandang mudah isu keselamatan)," kata Muhyiddin.

Beliau percaya kerajaan negeri Sabah mahu langkah-langkah lebih tegas diambil lebih awal daripada yang dijangka, sambil menegaskan perkara itu patut disegerakan.

Insiden penculikan semalam merupakan yang ketiga dalam tempoh tujuh bulan.

Pada 2 April lepas seorang pelancong wanita rakyat China dan seorang pekerja wanita diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata di resort Singamata, Semporna.

Wanita China yang juga seorang pelajar itu dikenali sebagai Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai manakala pekerja wanita warga Filipina berusia 40 tahun itu dikenali sebagai Marcy Dayawan atau Mimi.

Pada November tahun lepas, seorang pelancong Taiwan ditemui mati ditembak dan isterinya pula diculik oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di Pulau Pom Pom, Semporna. - Bernama


           Labur RM300 juta pada Esscom, keselamatan Sabah masih terancam

[kd]- Lebih RM300 juta dilaburkan bagi Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom), namun prestasi keselamatan di Sabah masih lagi terancam, kata Adun Inanam, Dr Roland Chia.

“Walaupun berjuta-juta dilaburkan, namun keselamatan di sempadan perairan Sabah masih lagi tidak selamat.

“Sudah lebih 50 tahun kita merdeka, Sabah masih lagi terancam keselamatannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pada April 2014 di Dewan Undangan Negeri Sabah Pakatan Rakyat mengusulkan perbahsan mengenai isu penculikan di Pantai Timur Sabah memandangkan ia menjejaskan keselamatan dan kedaulatan Malaysia.

Namun, usul tersebut ditolak kerana atas alasan teknikal.

“Keselamatan di Sabah perlu diatasi kerana Sabah merupakan pusat pelancongan yang menyumbang sumber ekonomi kedua kepada Sabah,” jelas Roland Chia.

Terbaru pada 6 Mei, satu kes penculikan bersenjata dilaporkan berlaku di perairan Sabah membabitkan sekumpulan lima orang lelaki yang melarikan seorang lelaki warga China dari sebuah pusat ternakan ikan dekat Lahad Datu.

Sebelum itu, pada 3 April, seorang pelancong China dan seorang pekerja sebuah pusat peranginan turut diculik oleh kumpulan lelaki bersenjata di di Singamata Reef Resort , Semporna.

Justeru, Roland (gambar) menggesa kerajaan menyelesaikan masalah keselamatan di negeri tersebut dengan kadar segera, dan juga bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian yang berlaku ini.

“Kerajaan perlu ada sikap tanggungjawab terhadap rakyat seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri Korea Selatan yang meletakkan jawatan atas bencana feri Pulau Jeju sebagai tanda tanggungjawab bersama kepada rakyat dan negara.

“Keputusan lonjakan penduduk di Sabah melebihi 200 peratus sepanjang dekad dan kelewatan RCI mengenai pendatang tanpa Izin di Sabah adalah petunjuk bahawa rakyat negeri ini dinafikan perlindungan asas pembelaan dari BN,” tegasnya.


                    Sabah Dikejutkan Lagi Dengan Insiden Culik Warga China

[mstar]- Sabah sekali lagi dikejutkan dengan insiden penculikan terbaharu melibatkan seorang lagi warga China dari sebuah pulau berhampiran.


Ketua Menterinya, Datuk Musa Aman mengumumkan pelaksanaan zon perintah berkurung dan zon kawalan kawasan berisiko di perairan negeri itu.

Mangsa, seorang pengurus ternakan ikan, Yang Zail Lin, 34, dari Guangzhou diculik lima lelaki bersenjata warga Filipina yang kemudiannya melarikan diri ke Pulau Sibutu, selatan Filipina.

Insiden penculikan itu berlaku kira-kira 28 jam selepas empat lanun lengkap bersenjatakan M-16 menyerang dan merompak enjin bot empat nelayan di Tanjung Labian, dekat Kampung Tanduo pada Ahad lalu.

Insiden pada pukul 2.45 pagi di ladang ternakan ikan, Wonderful Terrace Sdn Bhd di Pulau Baik, berhampiran perairan Silam, kira-kira 20 kilometer dari selatan Lahad Datu, mengejutkan rakyat Sabah yang kini mempertikaikan fungsi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Sekumpulan penculik itu turut bersenjatakan M-16, pada awalnya mendayung bot dengan 40 kuasa kuda berwarna putih ke ladang ternakan ikan itu untuk mengelakkan daripada dikesan pasukan keselamatan sebelum menuju ke jeti kedua di ladang tersebut.

Sumber berkata, dua lelaki bertopeng menuju ke bilik seorang tukang masak wanita sebelum bertanyakan mengenai pemilik ladang tersebut yang merupakan warga Hong Kong.

Difahamkan pemilik ladang tersebut baru saja beberapa jam meninggalkan kawasan itu sebelum ketibaan kumpulan penculik itu.

Mereka melarikan Yang yang keluar dari biliknya selepas terdengar bunyi bising dari bilik tukang masak tersebut.

Mereka kemudiannya membawa Yang menaiki bot laju yang menjadi tempat pengawal keselamatan ditahan.

Namun, penculik tersebut melepaskan pengawal keselamatan itu dan memecut laju ke perairan antarabangsa.

Pasukan keselamatan dimaklumkan segera mengenai insiden itu.

Ekoran insiden itu, polis telah melakukan sekatan jalan raya di sepanjang laluan Tawau-Lahad Datu manakala Ops Tutup turut dilaksanakan di perairan negeri tersebut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kira-kira pukul 6.20 pagi mereka berjaya mengesan bot dengan kekuatan enjin 200 kuasa kuda berhampiran perairan Pulau Mataking dan berlaku tembak-menembak antara pasukan keselamatan dan kumpulan penculik itu.

Menurutnya, kumpulan penculik itu berjaya memasuki Alice Reef sebelum melarikan diri ke Pulau Sibutu, selatan Filipina.

Beliau berkata, kumpulan penculik itu dipercayai menggunakan bot dengan kekuatan enjin 40 kuasa kuda sebelum menukar bot laju untuk melarikan diri dari perairan Sabah.

Katanya, beliau telah meminta bantuan daripada polis Filipina dan turut menyiasat sama ada kumpulan tersebut merupakan dalang di sebalik insiden rompakan di Tanjung Labian pada Ahad.

Menurut sumber, sekumpulan lanun dalam insiden di Tanjung Labian menggunakan bot hitam dan bercakap dalam bahasa Melayu manakala di Silam mereka bercakap dalam dialek Bajau.

Namun, mereka tidak menolak kemungkinan kumpulan tersebut mungkin ada kaitan.

Pada 2 April lalu, kumpulan bersenjata dari selatan Filipina menculik pelancong warga China, Gao Huayun, 29, dan seorang pekerja resort, Marcy Dayawan, 40, dari Resort Singamata, Semporna.

Lokasi sebenar mangsa culik dilarikan di selatan Filipina belum diketahui walaupun pihak berkuasa Malaysia memberi jaminan bahawa kedua-dua tebusan berada dalam kedaaan selamat.

Pada 15 November tahun lalu, seorang wanita warga Taiwan, Chang An Wei, 58, diculik sekumpulan penjenayah di Pulau Pom Pom, Semporna manakala suaminya, Li Min Hsu, 57, dibunuh.

Kira-kira sebulan selepas itu, mangsa yang diculik kemudian berjaya diselamatkan pihak berkuasa.







Hamza (kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah SAC Omar Mamah (kiri) menunjukkan lokasi kejadian bersama gambar rumah pengurus ternakan ikan dalam sangkar warga China yang diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata di Pulau Baik, Lahad Datu kira-kira 2.45 pagi Selasa
                   
                   
                   





sumber

0 Response to "Penculikan Di Pantai Timur Sabah : Muhyiddin Kecewa Dah Labur RM300 Juta Pada Esscom, Keselamatan Sabah Masih Terancam"

Catat Ulasan