[hd]- Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menyifatkan pencalonan beliau pada PRK kali ini membuktikan Pakatan Rakyat memartabatkan kaum wanita serta menghormati anak muda.
Beliau yang berucap pada pelancaran jentera Pakatan Rakyat di Kampung Bahagian turut menegaskan pencalonan beliau turut membuktikan bahawa DAP tidak mengamalkan politik perkauman seperti mana tuduhan Umno selama ini.
"Ini membuktikan dengan jelas, Pakatan Rakyat menaikkan martabat kaum wanita serta menghormati anak muda dan menolak politik perkauman," ucap beliau.
Beliau yang turut mencabar Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil agar meletakkan calon wanita muda bagi mewakili Umno pada pilihan raya akan datang sebagai membuktikan parti itu menghormati kepimpinan anak muda.
"Shahrizat kata saya belum sedar, terima kasih atas nasihat beliau. Cuma saya nak tanya adakah beliau boleh meletakkan calon pimpinan anak muda yang sebaya dengan saya pada pilihan raya nanti.
"Kalau boleh lakukan mungkin saya boleh mendengar Shahrizat memberi nasihat lagi pada masa akan datang," sambung beliau.
Beliau juga meminta pengundi Teluk Intan memberi peluang kepadanya bagi membawa suara rakyat dan menentang dasar-dasar kerajaan yang menekan hidup rakyat.
"Ada orang kata saya jadi calon ni kerana nak glamour, kalau saya nak glamour lebih baik saya jadi artis dan bukannya masuk dunia politik.
"Saya masuk dunia politik kerana ingin berjuang untuk rakyat, saya lihat perjuangan pimpinan DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng semangat mereka yang telah membakar semangat saya untuk berada dalam persada politik," katanya lagi di hadapan kira-kira seribu yang hadir.
Dyana juga menyeru agar semua pengundi luar balik mengundi dan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat, khususnya DAP bagi memastikan hak rakyat terus diperjuangkan.
PRK Teluk Intan simbol politik baru negara
[hd]- Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan pencalonan Dyana Sofya Mohd Daud dari kaum Melayu merupakan simbol politik baru negara ini.
Beliau yang turut hadir pada program pelancaran jentera Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan turut meminta agar Umno-BN menjadikan ia sebagai contoh untuk mereka pada pilihan raya umum akan datang.
"Kita mahu semua bersatu padu dalam apa jua bentuk politik yang kita lakukan.
"Kita mahu politik yang baru, Dyana adalah contoh calon muda dan sepatutnya dia di sokong oleh Wanita Umno.
"Kenapa Umno perlu hina, kita percaya kepada pimpinan pemudi pemuda di Malaysia, mereka ada kualiti dan berkaliber untuk memimpin negara ini," ucap beliau.
Menurut Kit Siang, jika kepercayaan diberikan kepada pimpinan muda seperti Dyana, sejarah bakal tercipta pada 31 Mei nanti.
"Kita perlu letak kepercayaan untuk pemimpin muda, kita boleh cipta sejarah pada 31 Mei nanti.
"Ia akan menjadi contoh kepada semua dan pastinya Teluk Intan menjadi contoh kepada semua negeri di Malaysia.
Dalam pada itu, beliau yakin Pakatan Rakyat khususnya DAP mempunyai peluang untuk mengekalkan kemenangan yang lalu.
"BN sangat yakin mereka boleh memenangi kerusi Teluk Intan, kita kena bekerja keras dan tidak boleh berada dalam keadaan selesa.
"PRK kali ini kita bersifat rendah diri 'underdog', kita kena berusaha untuk memastikan kemenangan dapat dikekalkan," sambung beliau.
0 Response to "PRK Teluk Intan : Pencalonan Dyana Bukti Pakatan Rakyat Martabatkan Wanita"
Catat Ulasan