Rahman Dahlan, Guan Eng ‘bertikam lidah’
Perbalahan mengenai borang rasmi kerajaan berasaskan kaum meletus antara Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng apabila Pakatan Rakyat (PR) juga dikatakan tidak telus memperjuangkan kesamarataan kaum.?
Mengambil contoh borang rasmi kerajaan Selangor dan Pulau Pinang termasuk borang keahlian DAP dan PKR, Abdul Rahman membidas PR dengan mengemukakan beberapa bukti borang rasmi kerajaan Pulau Pinang dan Selangor juga mengandungi ruangan status kaum “Melayu/Cina/India/Lain-lain”.
Malah borang permohonan keahlian PKR juga menunjukkan ruangan “keturunan” sebagai syarat wajib butir kelayakan yang perlu diisi.
“Kenapa identiti kaum penting bagi kerajaan? Tanyalah Selangor. Kenyataan mereka retorik kerana borang mereka juga ada ruangan kaum.
“PKR yang menganggap parti mereka sebagai berbilang kaum juga memerlukan pengesahan identiti kaum dalam borang mereka,” katanya melalui akaun Twitter @mpkotabelud.
Lim bagaimanapun menyanggah kenyataan Abdul Rahman dan mempertahankan undang-undang mewajibkan borang rasmi kerajaan negeri perlu selaras dengan sistem borang Putrajaya.
“Alasan! Berapa banyak arahan yang diberikan Putrajaya tidak dipatuhi negeri di bawah Pentadbiran Pakatan Rakyat? Negeri PR hanya cakap tak serupa bikin,” respons Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Kota Belud itu turut mempertikaikan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang menentang polisi Putarajaya tetapi pada masa mengambil sikap berdiam diri terhadap kewujudan ruangan kaum dalam borang rasmi mereka sendiri.
Katanya, jika PR sering berdemonstrasi untuk mempertahankan prinsip, perkara mudah seperti menghapuskan ruangan bangsa sepatutnya dilakukan Pulau Pinang sejak dari dulu lagi.
“Kota Belud tak layak jadi menteri jika dia tidak memahami Perlembagaan Persekutuan. Perkhidmatan Awam Pulau Pinang berada di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam, perlu patuhi prosedur ditetapkan,” tulis Lim dalam akaun Twitternya @cmlimguaneng.
“Alasan. Anda Ketua Menteri yang paling berkuasa. Kenapa DAP perlu ambil peduli tentang prosedur JPA sedangkan DAP sendiri mempersendakan badan perundangan dengan sewenangnya,” balas Abdul Rahman.
Pertikaian isu status kaum dalam borang rasmi timbul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun dalam laporan akhbar hari ini menyatakan ruangan kaum yang tiada nilai akan digugurkan secara berperingkat.
Kenyataan Belaun itu mendapat perhatian Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang mengugut untuk membawa perkara ini ke mahkamah jika Putrajaya meneruskan keputusannya atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Manakala Lim dalam kenyataannya hari ini berpendapat pengguguran itu adalah satu langkah proaktif ke arah mewujudkan identiti satu bangsa satu negara.
Pada masa sama mendakwa status kaum memberi kelebihan kepada kumpulan pendesak seperti Perkasa menjadi kebal dengan membuat kenyataan yang mengguris sensitiviti orang bukan Melayu.
“Bukan sahaja mereka membuat kenyataan menghasut tetapi mereka juga kelihatan mempengaruhi dasar dan membuat keputusan di peringkat menteri kerajaan,” kata Lim.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun menafikan Kabinet ada membuat keputusan sedemikian sebaliknya membuat keputusan untuk mengekalkan amalan sedia ada untuk memastikan setiap kaum mendapat pertimbangan yang adil dan tidak ketinggalan dalam dasar kerajaan.
“Kenyataan itu tidak tepat, memang kita ada bincang dalam Kabinet tetapi keputusan kita adalah kekal,” katanya di Taiping hari ini.
Sehubungan itu, Najib berkata pihaknya mengarahkan Belaun mengeluarkan satu kenyataan baru bagi memperbetulkan kenyataannya yang disiarkan media hari ini selain memohon maaf atas kesilapan itu, lapor The Malaysian Insider.
0 Response to "Rahman Dahlan, Guan Eng ‘bertikam lidah’"
Catat Ulasan