Selesai Dahulu Ketirisan Sebelum Laksana GST






[sinar]- Kerajaan disaran mengatasi pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan negara terlebih dahulu sekiranya mahu melaksanakan GST.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, cadangan tersebut merupakan antara beberapa alternatif penyelesaian GST yang terkandung dalam Bajet Alternatif dan manifesto PR.

“Adalah lebih baik pelaksanaan GST ditangani dengan mengurangkan ketirisan. Dengan cara ini boleh menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM30 bilion.

“Jumlah ini menyamai hasil kutipan GST sekiranya ia dilaksanakan. Sekiranya Perdana Menteri mengambil kira pandangan ini, kami yakin GST boleh dilaksanakan pada bila-bila masa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin yang membidas pembangkang kerana mengutuk kerajaan yang mahu melaksanakan GST mulai April 2015.

Najib berkata, sebaliknya pembangkang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan cukai itu tidak pernah mengemukakan alternatif bagi menggantikan GST.

Selain itu, katanya, cadangan lain ialah supaya kerajaan memperkenalkan sistem Cukai Keuntungan Kapital ke atas penjualan aset kewangan seperti saham, bon dan lain-lain.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan juga boleh mencontohi negara maju lain yang mengenakan cukai buffet hanya kepada golongan berpendapatan tinggi.

“Kita bukan kata GST tak baik tetapi dalam keadaan hari ini ia akan membebankan golongan pendapatan sederhana.

Golongan menengah dan kaya perlu membayar cukai yang sama, jadi ia sangat tidak adil. “Sekiranya pendapatan  rakyat dapat ditingkatkan, baharu boleh laksanakan GST.

Oleh itu, penstrukturan semula ekonomi perlu dilakukan untuk meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.


                         GST sistem cukai progresif, bukan bebankan rakyat

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah sistem percukaian yang progresif dan pengenalannya bukanlah untuk membebankan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata penerangan berhubung GST, yang telah dilaksanakan kira-kira 90 peratus negara di dunia, perlu digiatkan supaya rakyat benar-benar faham dan tidak melulu membantah tanpa mengetahui tujuan dan asas sistem pencukaian berkenaan.

"Kita mesti terangkan kepada rakyat bahawa ramai yang tidak bayar cukai. Saya tahu sebagai Menteri Kewangan ramai yang tidak bayar cukai atau bayar sikit daripada yang sepatut dibayar.

"Dengan adanya sistem ini, ia lebih progresif kerana ia bergantung kepada banyak mana perbelanjaan kita dan dengan cara seperti ini dengan langkah kita mengecualikan cukai pada barang-barang keperluan rakyat maka pengenalan GST ini tidaklah membebankan rakyat," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Najib berkata kerajaan akan melihat dan memperincikan lebih banyak barangan dan produk yang boleh dikecualikan daripada GST tanpa menjejaskan perluasan asas hasil.

Beliau berkata melalui pelaksanaan GST itu kerajaan akan mampu memacu pertumbuhan yang lebih tinggi untuk negara dan mampu membina lebih banyak infrastruktur dan keperluan asas di bandar dan luar bandar.

"Sebab jika kita tidak membina infrastruktur lebih moden, kita akan kehilangan kelebihan kompetitif," jelas Najib.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa negara memerlukan perbelanjaan yang lebih untuk modal insan kerana ia juga merupakan faktor kritikal dalam soal kekuatan kompetitif mana-mana negara.

"Selain itu hasil pencukaian juga perlu untuk bidang kesihatan kerana terdapat keperluan untuk menambah hospital, peralatan dan sebagainya yang menjadi perkara mendesak untuk rakyat," katanya.

Najib berkata dengan tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan penjawat awam sebanyak 1.5 juta orang, negara memerlukan hasil negara yang mencukupi.

"Itulah langkah dan falsafah yang dipegang oleh kerajaan yang ada pada hari ini dan saya percaya dengan langkah seperti ini akan membolehkan mengangkat kedudukan negara kita seperti yang diimpikan bersama," katanya.

CBP akan diperkenalkan pada April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus.

Najib berkata sistem pencukaian GST telah lama dikaji oleh kerajaan dan telah diguna pakai kira-kira 90 peratus negara di dunia ini.

"Kalau sistem ini sudah terbukti (negara lain), tentu sekali bagi kita di Malaysia, kalau kita guna sistem GST ini, kita mestilah akan dapati ini adalah sistem yang adil, progresif dan boleh diterima oleh rakyat," katanya.

- Bernama





sumber

0 Response to "Selesai Dahulu Ketirisan Sebelum Laksana GST"

Catat Ulasan