Setengah jam tahan azab
REMBAU – Dua pemandu lori berhadapan dengan detik mencmaskan apabila tersepit lebih setengah jam di tempat duduk pemandu selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 31, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.25 petang itu, dua pemandu berkenaan berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba serta orang awam dan seorang lagi pemandu lori tercampak keluar ke tengah jalan.
Seorang orang awam, Amirul Nadzmi Arifin, 17, berkata, ketika kejadian dia berada di sebuah kedai makan Pekan Chengkau dan terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan utama.
“Saya terus berlari keluar dari kedai dan menghubungi balai bomba. Malah, ketika itu saya melihat seorang pemandu lori sudah tercampak ke tengah jalan dan orang awam membantu membawanya ke tepi jalan.
“Seorang pemandu lori yang membawa muatan telur pula sedang meraung kesakitan susulan kakinya tersepit. Bagaimanapun, pemandu lori yang tersepit dan lorinya terbabas masuk ke dalam semak di tepi jalan pula agak tenang menahan kesakitan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, dekat sini, semalam.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, punca kemalangan yang membabitkan tiga buah lori masing-masing muatan satu tan berkenaan masih lagi dalam siasatan.
Menurutnya, dua pemandu lori iaitu Mohd Nashrun Hazri Mohd Kamarulzaman, 20, yang tercampak ke jalan manakala pemandu lori muatan gula-gula, Tang Wee Liang, 30, dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban bagi rawatan lanjut.
“Kelindan lori muatan gula-gula, Md Sarab Ali Serdan mengalami cedera ringan di bahagian kaki juga dikejarkan ke hospital berdekatan bagi rawatan lanjut.
"Manakala seorang lagi pemandu lori muatan telur yang tersepit iaitu lelaki Cina pula dikejarkan ke Hospital Tampin," katanya.
Susulan insiden berkenaan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau serta Tampin dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
--sinar
0 Response to "Setengah jam tahan azab"
Catat Ulasan