
[mstar]- Perpecahan Pakatan Rakyat seperti yang dibayangkan penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam laman blognya baru-baru ini, pasti berlaku kerana DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing menentang cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya tidak terkejut dengan apa yang dibayangkan oleh Kit Siang. Ia akan berlaku kerana cadangan pelaksanaan hukum hudud oleh PAS mendapat bantahan keras daripada bekas pengerusi DAP, Karpal Singh," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi jenazah bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Mohammed Idris Abu Bakar di kediamannya di Kalumpang, dekat sini pada Isnin.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, walaupun terdapat segelintir Ahli Parlimen PKR menentang hudud, bantahan keras DAP dan PKR mengenai pelaksanaannya akan meregangkan hubungan PAS dalam pakatan pembangkang itu.
Menurut beliau, PAS perlu bekerja lebih 'keras dan bijak' untuk meyakinkan dan memenangi hati Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bukan Islam jika mereka ingin melaksanakan hukum hudud di Kelantan melalui pembentangan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang.
Ahli Parlimen Hulu Selangor (MIC), P. Kamalanathan yang juga ada bersama Ahmad Zahid, berkata walaupun perpecahan itu pasti berlaku, DAP akan memainkan isu itu untuk meredakan kemarahan ahli parti.
"Mereka hanya akan bercakap mengenainya dan tidak akan melakukan apa-apa tindakan. Ini adalah drama DAP semata-mata," katanya.
Beliau berkata, DAP perlu membuktikan keikhlasan mereka jika benar-benar menentang hudud dengan keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya PAS membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen pada Jun ini.
Lim dalam blognya membayangkan bahawa parti dalam Pakatan Rakyat mungkin berpecah sekiranya hudud menjadi isu utama.
'PR tidak akan berpecah'
[sinar]- Pas yakin polemik perlaksanaan hudud di Kelantan tidak akan menyebabkan mana-mana parti dalam PR keluar dari gabungan itu.
Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, melalui mesyuarat Majlis Setiausaha PR tiga hari lalu, semua pemimpin bersepakat untuk bersama mengurus isu tersebut.
“Kita putuskan tidak akan berpecah. Dalam mesyuarat tiga hari lepas kita bersetuju untuk memperkukuhkan PR, perbezaan pendapat mesti diuruskan. Jadi tak timbul isu Pas, PKR dan DAP bersendirian. Saya fikir risiko Umno lebih besar kerana mereka belum bincang dengan MCA dan Gerakan.
“DAP menolak atas dasar Perlembagaan tetapi tidak mencerca hudud. Kita akui ada perbezaan dalam PR kerana enakmen hudud wujud sebelum PR lagi tetapi kita saling hormat menghormati,” katanya selepas bertemu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediamannya di Pulau Melaka, semalam.
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang, mengakui tindakan DAP dan PKR menolak hudud kerana bimbang hilang sokongan pengundi, tetapi mereka juga perlu menerima hakikat rakyat Kelantan memberi mandat sehingga lima pilihan raya kepada Pas dan mahu hudud dilaksanakan.
Beliau berkata, sokongan penuh ahli Parlimen Umno dan empat ahli Parlimen daripada komponen BN cukup untuk meluluskan rang undang-undang persendirian yang dibawa, tetapi Pas masih perlukan sokongan PKR dan DAP.
Katanya, ahli Parlimen Islam dari PR boleh menyokong secara peribadi pembentangan rang undang-undang terbabit walaupun parti yang mereka wakili mempunyai pendirian berbeza.
“Bukan empat kerusi sahaja yang kita mahu. Kita perlukan semua sokongan PKR, DAP dari Umno. Apa yang penting komitmen wakil rakyat Islam.
Mungkin rakan-rakan wakil rakyat DAP Islam mahu sokong. Itu hak ahli Parlimen. Bagi Pas kita mahu semua Muslim dan bukan Muslim. Semua ini untuk atasi jenayah,” katanya.
Beliau mahu Kerajaan Pusat khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi perhatian pelaksanaan hudud di Terengganu kerana ia sudah diwartakan sejak 1993.
“Tidak ada makna warta tetapi tidak dikuat kuasa. Kita anggap Terengganu gagal pastikan apa yang diwartakan itu dilaksanakan.
Di Kelantan walaupun Dun lulus enakmen hudud, ia belum diwartakan kerana memerlukan proses daripada Pusat. Jadi tidak ada tekanan berbanding Terengganu,” katanya.
0 Response to "Siapa Zahid Hamidi Yang Pandai-Pandai Kata Pakatan Rakyat Akan Berpecah Kerana Hudud"
Catat Ulasan