Trio Umno Tiada Prinsip Yang Dipilih Oleh Rakyat










Pemuda PAS: Trio Umno tiada prinsip
[mk]- Tindakan tiga ADUN Terengganu yang mengumumkan untuk kembali kepada Umno tidak lama selepas keluar parti menerima ejekan dari Pemuda PAS yang menganggapnya sebagai satu gimik semata-mata.
Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat juga berkata, tindakan itu menunjukkan tiga wakil rakyat tersebut, termasuk bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said, tiada prinsip yang teguh dalam politik.

Dengan sinis, beliau turut mengumpamakannya seperti slogan satu iklan biskut popular – "sekejap ada, sekejap tiada".

"Bagi para politikus berjawatan ADUN, ahli Parlimen atau pemimpin dan aktivis di posisi mana sekali pun kita berada, berpeganglah kepada prinsip perjuangan yang luhur untuk membela rakyat.

"Prinsip yang mampu menjadi benteng ampuh dari bahana sindrom 'Sekejap ada, sekejap tiada'," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan tiga ADUN tersebut tidak lebih daripada satu "gimik dan rutin politik semata-mata".

"Ini semacam rumah tangga yang berhadapan krisis lantas si suami melafazkan talak satu. Namun kini sudah kembali rujuk," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata beliau masih ragu-ragu dengan penjelasan rasmi berhubung tindakan tiga wakil rakyat tersebut.

Katanya, orang ramai sukar untuk menerima bahawa tindakan keluar parti itu hanya kerana mereka tidak gembira dengan majlis kenduri untuk perkahwinan Ahmad Said.

"Tiada sesiapa percaya tiga wakil rakyat Umno Terengganu keluar parti kerana tidak gembira dengan (layanan terhadap) kenduri kahwin Ahmad Said, sehingga Najib hari ini berjanji akan menghadirinya.

"Ahli politik Umno sebeginilah yang menyebabkan orang ramai percaya bahawa ahli politik yang boleh dipercayai tidak wujud lagi.

"BN perlu diingatkan bahawa jika mereka terus memperkecilkan iklim penipuan, rasuah dan makan suap yang berada pada 'tahap merbahaya', Malaysia tidak akan mampu membasmi kemiskinan dan kekal dalam perangkap pendapatan kelas menengah," katanya.





sumber

0 Response to "Trio Umno Tiada Prinsip Yang Dipilih Oleh Rakyat"

Catat Ulasan