
“Bukan sahaja rakyat Terengganu mahu menggugurkan Ahmad Said sebagai Menteri Besar, malah pimpinan Umno juga mahu dia lepaskan jawatan tersebut.
Demikian reaksi Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail menjawab isu keretakan dalaman Umno Terengganu berikutan khabar angin yang bertiup kencang bahawa Ahmad Said bakal digantikan Adun Seberang Takir, Datuk Abdul Razif Abdul Rahman.
“Sebelum ini orang Umno selalu pertikaikan pentadbiran Pakatan Rakyat. Sekarang pentadbiran Umno sendiri kucar-kacir dan bercelarau.
“Umno sendiri nak buang Mat Said (Ahmad Said). Jelas bahawa Mat Said tidak disukai oleh orangnya sendiri,” kata Azan ketika dihubungi Keadilandaily.
Menurut Azan, isu pembaziran berterusan yang dilakukan sejak dilantik menjadi Menteri Besar selepas pilihan raya umum ke -13 punca penolakan rakyat dan Umno Terengganu.
Pada 15 Januari lepas, Ahmad Said dilaporkan mengetuai lawatan ke Antartika selama 15 hari anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui inisiatif Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).
Namun, Setiausaha Kerja YDSM, Mohd Azrul Ismail kemudiannya menafikan lawatan Mat Said ke Antartika adalah anjuran yayasan tersebut.
Difahamkan, kos perjalanan minima RM1 juta bagi delegasi 20 orang termasuk penerbangan dan tempat tinggal.
“Dulu pergi melawat Antartika. Balik tunjuk hasil dia pergi Antartika. Sekarang dia nak buat tasik untuk wanita pula.
“Mat Said hanya buat benda yang sama sahaja. Dalam kepala dia hanya fikir untuk dirinya sahaja, bukan fikir untuk membangunkan rakyat Terengganu,” ujar Azan.
Spekulasi MB T'ganu: Razif berada Putrajaya
[hd]- Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang digembar-gemburkan bakal menggantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu dilihat berada di Putrajaya hari ini.
Menurut laman web BNBBC, Abdul Razif bergegas ke Putrajaya sejurus selesai mesyuarat exco petang semalam.
Beliau juga dikatakan turut membatalkan kehadiran pada majlis penyerahan jersi kejohanan bola sepak Adun Seberang Takir di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir malam tadi secara tiba-tiba kerana terpaksa ke Kuala Lumpur.
Laporan akhbar berbahasa Inggeris turut menguatkan andaian bahawa Abdul Razif bakal menggantikan Ahmad yang baru sahaja meraikan kejayaan setahun Barisan Nasional di Terengganu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Akhbar itu turut melaporkan Abdul Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air negeri diminta berada di Kuala Lumpur dan bersiap sedia untuk menerima surat pelantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Isu penggantian jawatan Menteri Besar timbul apabila Ahmad dikatakan ada menandatangani surat persetujuan bahawa beliau akan memegang jawatan itu hanya setahun selepas BN menang tipis dalam PRU13 lalu.
Surat dua perenggan itu dikatakan ditandatangani Ahmad kira-kira dua minggu selepas PRU13 lalu.
Turut difahamkan, pertukaran Menteri Besar itu bakal dibuat pada 15 Mei seperti mana yang diperkatakan ramai pihak sebelum ini.
Pada PRU13 lalu, BN memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala 15 kerusi lagi dimenangi Pakatan Rakyat.
0 Response to "Umno Terengganu Tolak Mat Said !"
Catat Ulasan