Muatan Penumpang Berlebihan Punca Bot Karam


Banting : Setakat jam 5 petang, lima mayat bot karam iaitu empat lelaki dan seorang perempuan sementara seorang lagi mangsa belum dikenal pasti jantinanya, telah ditemui di perairan Kuala Langat manakala 32 lagi masih hilang.



Muatan Penumpang Berlebihan Punca Bot Karam, berita, terkini, info, bot penumpang warga asing karam,



Difahamkan seramai 30 mangsa yang terselamat dihantar ke Balai Polis Teluk Panglima Garang bagi tujuan soal siasat.






Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitino turut hadir melawat mangsa bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan bot karam yang melibatkan rakyat mereka.



Hadir bersama Badan Bukan Kerajaan(NGO), Yayasan Tzu Chi Taiwan Malaysia yang merupakan agensi bantuan dan penyelamat turut menyalurkan bantuan pakaian dan makanan di sini.



Presiden Persatuan Acheh Malaysia, Haji Mansur turut sama membuat lawatan dan memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.



Mangsa yang sebahagian besarnya terdiri daripada warga Acheh ingin pulang ke tanah air bagi menyambut bulan Ramadhan mengambil jalan mudah untuk pulang ke kampung halaman dengan menggunakan agensi haram, ia didapati mengenakan tambang yang jauh lebih murah daripada menggunakan perkhidmatan kerajaan Malaysia.


"Walaupun pendatang haram ini akan dikenakan denda kerana tidak memiliki pas perjalanan yang sah, mereka masih boleh pulang ke kampung halaman masing-masing dengan selamat. Malangnya mereka tetap berdegil dan masih mahu menggunakan khimat bot haram ini," katanya lagi


Sementara itu siasatan awal polis mendapati muatan penumpang berlebihan adalah antara punca bot itu karam.



Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azman Abd Razak berkata bot seumpama itu biasanya boleh membawa penumpang hanya kira-kira 40 hingga 50 orang.



Katanya bagaimanapun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.


"Kita sedang menjalankan gerakan mengenal pasti punca kejadian, siapa pemilik sebenar bot tersebut, destinasi dan bagaimana proses perjalanan ini berlaku sehingga berlakunya kejadian ini difahamkan semasa kejadian ada berlaku ribut," katanya.



Mayat dihantar ke Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah manakala mereka yang terselamat disiasat oleh Kastam Diraja Malaysia dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyuludupan Migran 2007.



Kemungkinan baki mangsa yang belum ditemui untuk hidup adalah tinggi memandangkan kejadian ini tidak sampai tempoh 24 jam dan paras air di kawasan berkenaan tidak dalam.



Beliau berkata kesemua mangsa yang ditemui tidak memakai jaket keselamatan.



"Anggaran usia para penumpang antara enam tahun dan 60 tahun dan identiti sebenar mereka akan dikenal pasti selepas proses dokumentasi dijalankan,"katanya.



Ketika ini usaha mencari dan penyelamat baki mangsa dianggarkan 34 orang sedang giat dijalankan dan operasi meliputi kawasan di pesisiran pantai Daerah Kuala Langat iaitu kira-kira empat batu nautika dari tempat kejadian, katanya.



Operasi disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia, Majlis Daerah Kuala Langat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Persatuan Nelayan.



APMM juga menggunakan helikopter jenis AW139 dalam operasi itu.

MYNEWSHUB.MY

0 Response to "Muatan Penumpang Berlebihan Punca Bot Karam"

Catat Ulasan