"KRIM AJAIB" PASANGAN VIP DISERBU !



Kajang – Sebuah syarikat produk kecantikan milik pasangan VIP diserbu pihak berkuasa selepas dikesan menjual krim ‘ajaib’ yang didakwa kononnya boleh menyembuhkan 30 penyakit serentak.

Dakwaan tidak munasabah itu mengundang rasa musykil berikutan krim itu dikatakan boleh merawat pelbagai penyakit bahaya seperti sakit jantung, lumpuh dan kencing manis dengan hanya menyapu krim itu pada kulit tubuh.
Sumber Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kewujudan krim ajaib itu terbongkar selepas pihaknya menerima aduan orang ramai.

Susulan itu sepasukan pegawai BPF Selangor melakukan pemeriksaan mengejut di premis syarikat itu kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, premis itu bertanggungjawab mengedarkan krim berkenaan kepada puluhan stokis di seluruh negara.

“Pihak BPF merampas sembilan kotak produk krim itu yang dijual dengan harga RM40 setiap kotak. Bagaimanapun kebanyakan produk krim itu dipercayai sudah dihantar kepada stokis yang dilantik.

“Siasatan mendapati pemilik produk itu melakukan kesalahan serius berikutan mendakwa produk krim dijual itu boleh menyembuhkan pelbagai penyakit,” katanya.
Dia berkata, berdasarkan risalah diedarkan, produk itu didakwa mampu menyembuhkan penyakit berbahaya seperti batu karang, asma, gout, darah tinggi, kencing manis, sakit pinggang, sakit jantung, migrain dan pelbagai penyakit lain.


“Malah, krim itu turut dikatakan boleh menyembuhkan bisa akibat patukan ular dan sengatan haiwan. Semua dakwaan ini dianggap tidak munasabah dan meragukan.

“Tindakan itu jelas menyalahi Akta Ubat (iklan dan penjualan) 1956. Dua kakitangan syarikat itu sudah diambil keterangan berhubung penjualan produk itu yang didakwa diimport dari Brunei,” katanya.

Dia berkata, peniaga produk kecantikan atau makanan kesihatan seharusnya tidak meletakkan iklan atau mengedarkan risalah mendakwa produk dijual boleh merawat penyakit tanpa kelulusan KKM.

“Apa yang berlaku kini ramai pengusaha produk kecantikan dan makanan menggunakan iklan tidak munasabah untuk menarik perhatian pelanggan serta mendapatkan keuntungan.

“Mereka ini menggunakan promosi di media massa untuk meyakinkan pengguna sedangkan produk dijual bukanlah ubat disahkan KKM,” katanya.

Menurutnya, antara 20 penyakit yang dilarang mutlak untuk diiklankan adalah penyakit ginjal, jantung, kencing manis, sawan, lumpuh, batuk kering, lelah, kusta, barah, pekak, penagihan dadah, burut, penyakit mata, tekanan darah tinggi, sakit otak, mandul, mati pucuk, penyakit kelamin, lemah urat saraf hubungan seks dan dingin rasa seks, lapor Hmetro

0 Response to ""KRIM AJAIB" PASANGAN VIP DISERBU !"

Catat Ulasan