Kisah Jimmy Palikat Sebelum Jadi Penyanyi

Siri pertama Jejak Bintang semalam merungkai kisah hidup Jimmy Palikat sewaktu zaman muda sebelum bergelar penyanyi.


Kisah Jimmy Palikat Sebelum Jadi Penyanyi, info, terkini, hiburan, jimmy palikat, tanak kampung,



Sebelum meninggalkan kampung halaman di Tambunan, Sabah untuk mencari rezeki di luar negara, penyanyi itu sudah menunjukkan minat mendalam dalam bidang nyanyian.

Hari ini, ruangan berkenaan memaparkan kisah Jimmy ketika bergelar artis seperti dikongsikan isterinya, Florencia Cosmas, 33.

Mereka berkahwin pada April 2005 dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu Christell Vilolett, 9; Aviegail Alexi, 7; Owlen Dioe, 6; Sukie Alinskie, 5; dan Nulan Aryia, 3.

Biarpun sibuk dengan kariernya, Jimmy sentiasa mencari masa lapang untuk meluangkan masa bersama anak-anak. Bahkan dia sangat memanjakan semua anaknya.

Namun sebelum mendirikan rumah tangga dengan penyanyi itu, Florencia memberitahu dia sebenarnya tidak mengetahui Jimmy adalah artis.

"Seorang rakan memperkenalkan saya kepada Jimmy pada sekitar 2004. Selepas itu, kami kerap berhubung selama tiga bulan sebelum menjadi kekasih.

"Sepanjang tempoh itu, tiada sesiapa memberitahu dia adalah penyanyi malah saya juga tidak tahu mengenai bakatnya," katanya.

Menurutnya, Jimmy seorang yang bersikap rendah diri menyebabkan dia tidak pernah menceritakan mengenai kariernya.

"Patutlah saya pelik setiap kali kami keluar bersama orang di sekeliling asyik memandangnya.

"Saya hanya tahu Jimmy sebenarnya penyanyi apabila ternampak gambarnya pada kulit video cakera padat. Ketika itu, saya menghadiri majlis keramaian dan ada tetamu mahu nyanyi lagunya," katanya.

Selepas beberapa bulan mengenali hati budi masing-masing, Jimmy dan Florencia akhirnya berkahwin.

"Selain menyanyi, suami juga buat kerja sampingan yang diusahakan bersama rakannya," katanya.

Katanya, tidak pernah sesekali terlintas dalam fikiran lagu hit Tanak Kampung atau dalam versi bahasa Malaysia, Anak Kampung ciptaan suaminya menerima sambutan luar biasa rakyat negara ini.

"Kali pertama mendengar lagu itu, saya merasakan iramanya sangat 'catchy' dan melodinya mudah. Sesiapa yang dengar Anak Kampung pasti ingin goyangkan kaki," katanya.

Menurutnya, sejak nama suaminya mula terkenal dalam industri muzik tanah air, Jimmy tidak putus menerima jemputan untuk membuat persembahan di Semenanjung.

"Sebagai isteri, saya perlu memahami kerjaya suami malah sangat bangga dengan pencapaiannya.

"Saya jarang ikut dia ke lokasi persembahan kerana mempunyai kerjaya sendiri selain perlu menjaga anak-anak.

"Dalam kesibukan, dia sebenarnya seorang bapa yang bertanggungjawab dan pada masa lapang akan membawa anak-anak keluar makan, bersiar-siar, bermain di taman permainan atau bercuti," katanya.

Setiap artis pasti tidak lari daripada gosip, begitu juga Jimmy. Namun sebagai isteri, Florencia mengambil langkah untuk mengendahkan gosip kurang enak.

"Sebagai isteri, saya sedih apabila mendengar gosip mengenai suami. Tetapi saya lebih mengenali Jimmy daripada orang luar dan sentiasa menyokong kerjayanya," katanya.







Sumber : hmetro.com.my

0 Response to "Kisah Jimmy Palikat Sebelum Jadi Penyanyi"

Catat Ulasan