Menurut Malilah Khairuddin atau lebih selesa dengan panggilan Ar Ar, dia sama sekali kesal hubungan yang terjalin bersama Arja Lee sebagai pengurusnya selama hampir dua tahun berakhir dengan perpisahan.
“Sebenarnya saya sendiri yang meminta untuk berhenti daripada terus menguruskan kerjaya seni Arja Lee. Tak mengambil masa yang lama, hanya dalam masa dua tiga hari, saya telah mengambil keputusan untuk berhenti.
“Semuanya berlaku kerana hala tuju kami berdua tidak lagi sealiran dan saya menganggap mungkin dia (Arja Lee) mempunyai caranya yang tersendiri untuk menaikkan namanya selepas ini.
“Kerana kalau mengikut cara saya bekerja, kalau sudah ada rezeki di depan mata jadi lebih baik dahulukannya dan hargainya terlebih dahulu.
“Saya juga sama sekali tidak menyangka perkara ini akan berlaku sekarang kerana saya sudah bersamanya sejak sekian lama iaitu sejak zaman dia susah dan tidak dikenali. Kalau ketika dia sedang popular itu lain cerita.
“Mungkin juga dia merasakan saya sudah tidak cukup bagus untuk menguruskannya kerana mungkin juga dia rasa saya tidak melakukan yang terbaik untuk terus menaikkan namanya sebagai seorang artis,” jelas Ar Ar menerusi perbualan di talian telefon bersama Portal Murai.
Tambah Ar Ar, dia redha dengan keputusan yang telah dibuatnya itu dan mengharapkan kecemerlangan dalam kerjaya seni pelakon berkenaan, walaupun Arja Lee terpaksa bergerak sendirian atau memiliki pihak pengurusan yang baru tidak lama lagi.
Mengakui sudah tiada lagi rezekinya untuk bersama-sama pelakon … Dalam Botol kerkenaan, Ar Ar berkata dia mengambil keputusan untuk berehat seketika sebelum menimbang tara beberapa tawaran yang datang kepadanya.
“Begitu banyak perkara yang saya pelajari sepanjang menjadi pengurus peribadi dia. Tapi apa yang boleh saya katakan untuk menjadi seorang pengurus artis, seseorang itu perlulah tabah dan perlu tahu apa yang seseorang artis itu inginkan dalam kerjaya mereka.
“Sama ada inginkan populariti, kemewahan atau melengkapkan impian sebagai bidang kerjaya. Apabila kedua-dua pihak sudah mencapai kata sepakat, jadi barulah mudah untuk menjalankan peranan masing-masing.
“Arja Lee yang saya kenali memang seorang yang bekerja keras dalam mengejar cita-citanya dan dalam masa yang sama dia baik hati, sangat pemurah dan juga penyayang,” katanya memuji Arja Lee.
Sumber : murai.com.my
0 Response to "Punca Pengurus Peribadi Arja Lee Berhenti"
Catat Ulasan