USTAZ KAZIM : MULA-MULA ARAK DAN PEGANG ANJING, LEPAS INI BUAT KEMPEN BABI


Pendakwah bebas, Ustaz Mohd Kazim Elias menyifatkan penganjuran ‘Kempen Saya Mahu Sentuh Anjing’ adalah agenda halus untuk meliberalkan agama Islam.


Menurut kenyataan menerusi laman Facebook, beliau berkata kempen sebegini merupakan jarum halus yang dicucuk kepada umat Islam agar berfahaman lebih liberal.

“Ianya satu gerakan yang cukup halus untuk menghalalkan sesuatu yang sudah diharamkan dan dimulakan dengan satu kempen secara kecil-kecilan yang akhirnya akan merubah dan menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya,” jelasnya.

Katanya umat Islam di negara ini harus berhati-hati dengan setiap agenda yang dianjurkan bagi menjaga akidah masing-masing.

Jelasnya, aktiviti sebegini harus dipandang serius memandangkan ianya melibatkan urusan ibadat seharian.

“Tidaklah salah pegang anjing, tetapi apa sebabnya sampai buat kempen?.

“Berhati-hatilah dengan kempen sebegini, lepas kempen arak muncul pula kempen anjing lepas ini apa pula?” soalnya.

Tambah beliau, anjing tergolong dalam binatang mughalazah dan sama seperti babi.

“Tetapi nak dijadikan sebagai binatang peliharaan seperti kucing ayam dan lain-lain tidaklah boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan urusan ibadat seharian.

“Jangan selepas ini buat kempen babi dengan alasan bahawa babi sekarang sudah bersih dah diternak dalam ‘aircond’ dan mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabangsa,” ujarnya.

Namun katanya tidak salah jika anjing dijadikan binatang untuk menjaga kebun bagi menjaga keselamatan rumah.

“Membela anjing untuk jaga kebun bagi menjaga keselamatan rumah dan mengesan barang jenayah tidaklah dilarang malah harus dalam Islam,” jelasnya.

Sementara itu Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut menasihatkan umat Islam tidak mencipta budaya bercanggah dengan Islam dan mempunyai unsur menghina ulama.

Beliau menegaskan haram menyentuh anjing dengan sengaja kerana ia najis mughallazah yang dipandang serius oleh mazhab Shafie dan Hanbali.

“Perkara ini dilarang kerana tiga perkara iaitu agama, kesihatan dan budaya yang bercanggah dengan Islam.

“Perlu diingat di Malaysia kita berpegang teguh kepada mazhab Shafie.

“Jangan cuba mencipta budaya yang bercanggah dengan Islam dan mazhab Shafie, apatah lagi mempunyai unsur menghina ulama di negara ini.

“Usahlah menjadi hero dengan menimbulkan pendapat terpencil yang tidak boleh digunapakai.

“Alasan fuqaha (ahli fekah) mengenai membela anjing cukup jelas iaitu ia akan menakutkan tetamu, berkurangan pahala satu qirot (satu qirot bersamaan bukit Uhud di Madinah), malaikat rahmat tidak memasuki kediaman dan tabiat anjing suka menjilat.

“Imam al-Nawawi menyatakan tiga alasan membolehkan membela anjing iaitu menjaga tanaman, ternakan dan berburu,” katanya.

Seterusnya Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Othman pula menggesa agar pihak berkuasa agama memberi perhatian dan menyiasat tujuan penganjuran program itu yang dianggapnya bertentangan dengan pegangan umat Islam.

Beliau berkata umat Islam tidak seharusnya mengambil mudah mengenai perkara itu dan merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu jika ingin membuat sesuatu yang bercanggah dengan mazhab Shafie.

Pengguna lama Facebook dan Twitter juga mempersoalkan rasional penganjuran pesta tersebut yang membabitkan kehadiran umat Islam dan mempersoalkan di mana penguatkuasaan undang-undang syariah oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang hanya membiarkan pesta ini berlangsung.

Sebelum acara bermula, sebuah forum memberi peluang kepada orang ramai membangkitkan kemusykilan kepada seorang ustaz, seorang pemandu teksi berbangsa Melayu yang berpengalaman mengendalikan anjing serta doktor haiwan.

Orang ramai turut diberi taklimat dan diberi tunjuk ajar cara melakukan samak yang betul sekiranya ada yang was-was atau memegang anjing dalam keadaan basah.


sumber: suara.tv

0 Response to "USTAZ KAZIM : MULA-MULA ARAK DAN PEGANG ANJING, LEPAS INI BUAT KEMPEN BABI"

Catat Ulasan