
Pada masa ini banyak kegagalan rumahtangga berpunca daripada kegagalan
suami mengimbangkan tanggungjawab sebagai seorang anak dan seorang
suami. Ada Suami yang menganggap bahawa ketaatan kepada ibu
bapa adalah segala-galanya dan segala kehendak mereka dituruti hinggalah
menyebabkan isteri terluka dan dipinggirkan dan ada pula
yang terlalu sayang kepada isteri sehingga mengenepikan Ibu bapa dan menyebabkan
mereka terluka, si anak terjatuh dalam lembah derhaka. Baca kisah yang
dikongsikan oleh blogger hisham79.blogspot.com yang boleh dijadikan
pengajaran dan panduan kepada mereka yang bakal dan sudah bergelar suami dalam
mengimbangi rumah tangga mereka.
“Ustaz nak uji sikit boleh?” tanya Ustaz Wan
kepada saya sambil tersenyum.
“Uji apa pula Ustaz?” tanya saya
kehairanan.
“Uji tentang ilmu baitul muslim la, Sham kan tak
lama lagi nak menamatkan zaman bujang.” Jelas Ustaz Wan. Masih
tersenyum.
“Oh, kena uji-uji pula ye Ustaz, haa, tanyalah,
saya ada juga baca buku, insyaallah boleh jawab soalan ustaz punya.” Balas saya
dengan penuh keyakinan.
“Jangan yakin sangat.” Celah Ustaz Wan, seakan
dapat membaca fikiran saya.
“Ok, Ustaz nak tanya, katalah tiba-tiba berlaku
dalam rumahtangga, mak si lelaki minta anaknya untuk ceraikan isterinya, apa
tindakan yang lelaki tersebut perlu buat?” Soal Ustaz
Wan.
“Ish Ustaz ni, pelik betul soalan, tak ada soalan
lain ke.” Saya cuba membantah.
“Jawab soalan Ustaz yang ini dulu.” Arahnya,
membuatkan saya menggaru kepala yang tidak gatal.
“Hmm, tak boleh la kot Ustaz kan.” Saya berfikir
dan menyerkap jarang. Menjawab dengan logik dan pengalaman yang
mentah.
“Kalau Ustaz kata ada dalil dalam hadis yang
membolehkan perkara ini berlaku, macamana?”
Saya tersentak.
“Eh, ada dalil, biar betul
Ustaz?”
“Ustaz, saya ‘surrender’ lah, tak tahu lah nak
jawab soalan begini, kalau tanya rukun nikah tu tahu la saya. Tapi, kenapa Ustaz
tanya begini?” Saya menyerah kalah.
“Baiklah, Ustaz terang dulu kenapa Ustaz
tanya.”
“Ikut pengalaman Ustaz, dan ramai juga kawan-kawan
ustaz yang lain, banyak krisis rumahtangga yang berlaku akibat campurtangan ibu
bapa dalam rumahtangga.”
“Akhirnya rumahtangga jadi kacau bilau bila suami
tidak cukup ilmu, tidak ada pendirian dalam rumahtangga untuk menangani krisis
dengan ibu bapa hingga menyebabkan akhirnya banyak perceraian berlaku akibat
campurtangan keluarga.”
“Tadi Ustaz kata ada dalil?” saya mencelah. Masih
keliru.
“Benar, ada dalil dari hadis tentang pertanyaan
sahabat kepada Rasul, ada juga kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, juga
ada dalil tentang Saidina Umar dan anaknya yang kesemua kisah ini menceritakan
tentang arahan untuk menceraikan isteri.” Terang Ustaz Wan, tanpa memperincikan
hadis tersebut.
“Cuma, aplikasi dari kisah-kisah tersebut yang
diriwayatkan daripada hadis, tidaklah boleh diaplikasikan terus dalam kehidupan
umat Islam tanpa pemahaman yang jelas tentang banyak
perkara.”
“Ketaatan kepada kedua ibu bapa memang suatu yang
wajib, tapi tidak dalam bermaksiat kepada Allah. Terlalu menurut kehendak ibu
bapa sehingga menzalimi isteri adalah jelas suatu perkara yang bercanggah dengan
agama.”
“Nabi tidak pernah mengajar kita begitu kerana
baginda adalah yang terbaik terhadap isteri-isteri baginda dan pada masa sama
insan yang paling tegas dalam menyuruh anak-anak untuk berbuat baik kepada kedua
ibu bapa.” Jelas Ustaz Wan, membuatkan saya termenung
panjang.
Tidak saya sangka bahawa pesanan seorang murabbi 8
tahun yang lalu rupanya adalah realiti kehidupan rumahtangga yang saya lihat
hari ini.
Banyak krisis yang berlaku dalam rumahtangga
berpunca akibat gagalnya suami mengimbangkan tanggungjawab sebagai seorang anak
dan seorang suami.
Ada yang menganggap bahawa ketaatan kepada ibu
bapa adalah segala-galanya, sehingga segala kehendak ibu bapa dituruti hingga
menyebabkan isteri terluka dan dipinggirkan.
Ada pula yang mengenepikan ibu bapa kerana terlalu
sayang kepada isteri. Ibu bapa terluka, si anak terjatuh dalam lembah
derhaka.
“Lepas kahwin nanti Sham, kena pandai dan kena
kuat emosi dan rasional, kena ada pendirian.” Sambung Ustaz Wan lagi setelah
melihat saya terdiam.
“Ustaz bagi contoh, kalau lepas kahwin, ibu suruh
kita duduk serumah, hingga menimbulkan kegelisahan isteri sebab terkongkong dari
segi aurat dengan ipar dan rasa tak selesa kerana selalu dinilai oleh mertua
dalam apa jua tindakan.”
“Banyak kes begini berlaku, hingga menyebabkan
isteri hilang sabar dan akhirnya menuntut cerai.”
“Dalam kes begini, suami kena pandai berbincang
dan buat pertimbangan. Mungkin tak perlu tinggal serumah pun, hanya memadai
dengan ziarah kerana ibu masih sihat dan ada anak-anak lain yang
menemani.”
“Lainlah kalau ibu sakit atau ada sebab-sebab
dharuri yang memerlukan untuk tinggal sekali.”
“Jangan atas nama ‘Birr Walidain’ (berbuat baik
kepada ibu bapa), kita menzalimi dan menyakiti hati
isteri.”
“Kena ada pendirian, kena selalu berbincang bila
ada masalah.”
“Begitu juga kalau isteri naik kepala. Merajuk tak
tentu hala bila di ajak pulang ke kampung untuk menziarahi ibu bapa yang sedang
sakit dan memerlukan perhatian. Tak suka untuk berbuat baik kepada ibu bapa
suami.”
“Dalam kes begini, suami kena tegas dengan isteri.
Kasih kepada isteri tidak harus menyebabkan ibu bapa dilukai hatinya. Jangan
atas nama berbuat baik kepada isteri, hak ibu bapa semuanya dilanggar.” Jelas
Ustaz Wan lagi.
Saya mengangguk perlahan, dan hari ini saya
mengangguk lagi mengingatkan pesanannya.
Banyak kes-kes perceraian yang berlaku akibat
campurtangan keluarga. Kisahnya mungkin berbeza, tapi puncanya adalah sama iaitu
suami tidak ada ilmu dan tidak ada pendirian dalam
rumahtangga.
Gagal mencari imbangan tanggungjawab antara isteri
dan ibu sendiri.
Lemah.
Suami adalah ketua dan pemimpin
keluarga,
baik sang suami, baiklah
rumahtangga,
buruk sang suami, hancurlah
rumahtangga.
Sumber: hisham79.blogspot.com
0 Response to "Menarik!!! Di Antara Isteri dan Ibu Sendiri"
Catat Ulasan