Aidil Zafuan Diarah Bayar Nafkah RM3,000 Sebulan, Rita Tak Setuju




Mahkamah telah memutuskan keputusan permohonan nafkah anak-anak yang dituntut oleh Rita Rudaini semenjak tahun 2012 yang lalu.



Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling hari ini, memerintahkan Aidil Zafuan Abd Razak membayar RM3,000 sebulan kepada Rita Rudaini, sebagai nafkah anak-anaknya dan menolak beberapa permohonan bekas isteri pemain bola sepak itu.



Hakim Syarie Abd Halim Abu Samah menolak tuntutan bayaran bagi susu, lampin pakai buang dan pengasuh kerana dokumen yang diserahkan tidak selari dengan tuntutan.



Rita Rudaini sebelum ini menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah dua anak mereka Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4 merangkumi perbelanjaan makan minum, pengasuh, lampin pakai buang, tempat tinggal dan percutian.



Mahkamah turut mengarahkan Aidil Zafuan membayar jumlah RM3,000 itu ke dalam akaun bank Rita Rudaini bermula Februari depan selewat lewatnya 5 haribulan setiap bulan.




Rita Rudaini bagaimanapun, akan memfailkan permohonan perubahan tuntutan nafkah anak selari dengan keadaan semasa.



Rita Rudaini memaklumkan perkara itu kepada media di perkarangan mahkamah selepas tamat prosiding tuntutan nafkah anak hari ini.



Menurutnya, permohonan itu akan difailkan pada minggu hadapan.



Beliau berkata, jumlah RM3,000 yang perlu dibayar oleh bekas suaminya, Aidil Zafuan mencukupi bagi anak-anaknya yang ketika itu masing-masing berumur 3 dan setahun.



"Ada beberapa tuntutan yang sudah tidak relevan lagi seperti susu dan lampin pakai buang kerana anak-anak sudah besar dan tidak memerlukannya lagi," katanya.



Ujar Rita, kini perbelanjaan anak-anaknya semakin bertambah apabila mereka sudah bersekolah.



"Saya menghantar mereka ke sekolah sejak tahun lepas lagi," katanya.



Beliau berkata, anak- anaknya bersekolah di tadika pada sesi pagi manakala kelas fardhu ain pada sebelah petang.



"Yuran tahunan mereka RM2,090 manakala yuran bulanan adalah RM259 bagi setiap anak," katanya.



Sementara itu, Aidil Zafuan ketika ditemui berkata, dia menerima keputusan itu dengan berlapang dada.



"Keputusan itu menjadi tambahan RM1,000 bagi bayaran nafkah anak yang telah saya beri selama ini setiap bulan iaitu RM2,000," katanya.



Menurutnya, dengan keputusan tersebut, tiada lagi pihak yang pertikaikannya.



Menyentuh soal anak, beliau berkata, masih belum dapat berjumpa dengan mereka.



"Apa pun saya akan berusaha untuk berjumpa dengan mereka. Tidak tahulah jika anak-anak yang enggan berjumpa," katanya.



0 Response to "Aidil Zafuan Diarah Bayar Nafkah RM3,000 Sebulan, Rita Tak Setuju"

Catat Ulasan