Kumpulan pemuzik jalanan, Caliph Buskers menyifatkan peluang dan kesempatan mereka berkolaborasi dengan kumpulan Mojo di pentas final Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) semalam sebagai platform terbaik mengubah persepsi sesetengah masyarakat yang menganggap pemuzik jalanan seperti mereka adalah peminta sedekah.
Menurut salah seorang anggota kumpulan ini dikenali sebagai Zaki, 36, wujud segelintir masyarakat memandang serong terhadap mereka apatah lagi golongan orang kelainan upaya (OKU).
“Pandangan sesetengah masyarakat terhadap orang celik dan buta berbeza. Apabila kami busking, ada yang anggap kami ini peminta sedekah tetapi kami bersyukur selepas ditawarkan lesen oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk kami terus membuat persembahan.
“Kami mahu bersaing secara sihat dengan busker lain dan kami mahu masyarakat menilai muzik kami seperti mana mereka menilai muzik orang-orang celik. Bukan saja kami tetapi mungkin bakat golongan OKU lain.
” Menerusi AJL29, kami jadikan ia sebagai peluang untuk membuktikan orang macam kami juga mampu bersaing dan berharap masyarakat boleh menukar tanggapan terhadap kami bukan seperti yang difikirkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media sejurus usai AJL29.
Selain Zaki, kumpulan yang mula ditubuhkan sejak setahun lalu juga dianggotai Azmi sebagai vokalis dan Nirwan yang juga mengalami cacat penglihatan.
Persembahan Caliph Buskers bersama Mojo menerusi lagu Roman Cinta berjaya menarik perhatian 20,000 penonton di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang terpegun melihat aksi mereka.
Apa yang lebih mengujakan, mereka mendapat sorakan dan tepukan gemuruh termasuk penonton memberikan ‘standing ovation’ sebagai tanda penghormatan dan kagum pada bakat golongan istimewa itu.
Usaha kedua kumpulan itu bergabung berbaloi apabila lagu ciptaan Edry Abdul Halim itu berjaya memenangi kategori Persembahan Terbaik sekaligus melayakkan Mojo dan Caliph Buskers meraih wang tunai sebanyak RM12,000.
Tambah Zaki, sewaktu ditawarkan Edry untuk berkolaborasi denga Mojo, dia dan rakan lain seperi tidak percaya malah menganggap tawaran itu hanya sekadar satu gurauan.
“Ketika busking, kami selalu juga nyanyikan lagu-lagu Melayu termasuk lagu Mojo tetapi kami tidak pernah terfikir beraksi di AJL29. Rasa macam mimpi dan kami bukan artis sekadar busker sahaja.
“Edry memberi semangat pada kami untuk beraksi sehingga keyakinan kami bertambah. Selepas itu kami berjumpa dan berbincang seterusnya setuju untuk kami terus memulakan latihan selama dua minggu,” katanya.
Sebelum ini, Caliph Buskers juga pernah diundang membuat persembahan di majlis perkahwinan penyanyi Alif Satar. Selain itu mereka sering membuat persembahan di hadapan pusat membeli belah Sogo pada setiap hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Sabtu dan Ahad dari jam 12 tengahari sehingga 3 petang manakala di Avenue K, setiap Ahad, jam 2 sehingga 4 petang.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai hasrat KRU Studios mahu menandatangani kontrak bersama mereka, Zaki menyatakan mereka menghargai tawaran itu.
Namun mereka mungkin tidak memilih bergelar artis arus perdana kerana masing-masing mempunyai perkerjaan lain. Sementara busking sekadar mengisi masa lapang mereka dan mencari pendapatan sampingan.
“Kami akan terus busking seperti biasa. Alhamdulillah, jika pihak KRU mahu mengambil kami sebagai artis mereka tetapi kami rasa kami tidak boleh memberi komitmen sepenuhnya kerana masing-masing mempunyai pekerjaan lain.
“Busking sekadar mencari pendapatan sampingan dan berkongsi bakat kami pada umum,” katanya. – MalaysiaDigest
0 Response to "Caliph Buskers Bukan Peminta Sedekah, Tolak Tawaran Jadi Artis"
Catat Ulasan