Papar - Tiga terbunuh termasuk seorang wanita
sarat mengandung manakala dua lagi parah selepas kereta yang dinaiki terbabas
dan terjunam ke dalam gaung berhampiran pejabat Taman Banjaran Crocker, di
Kilometer 40 Jalan Keningau-Kimanis di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Papar DSP George Abd Rakman
berkata nahas pukul 5.45 petang meragut nyawa Norma Husin, 50, Norliza Mustafa,
24, dan Emiriza Esanan, 2, yang maut di tempat kejadian ekoran cedera parah di
kepala.
Katanya, mereka yang cedera parah adalah
Arianah Kinsuan, 24, dan Saidah Mustafa, 26, masing-masing patah tangan kanan
dan patah kaki kanan.
"Dua lagi hanya cedera ringan termasuk pemandu
kereta berkenaan iaitu Esanan Kinsuan, 31 tahun. Kesemua mangsa yang cedera
dihantar ke Hospital Papar untuk mendapat rawatan lanjut," katanya ketika
dihubungi.
Beliau berkata kesemua mangsa yang berasal dari
Kampung Berjaya, Bukit Garam Sandakan itu menaiki kenderaan jenis Toyota Avanza
yang sedang dalam perjalanan dari arah Ranau menuju ke Kota Kinabalu.
"Mereka menggunakan jalan Kimanis-Keningau dan
apabila mangsa sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kenderaan yang dipandu
hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 200
meter," katanya.
Kejadian itu berlaku tidak jauh dari lokasi
kemalangan yang mengorbankan lima sekeluarga selepas pacuan empat roda dinaiki
mereka terbabas pada 21 Ogos lalu. - Awani
0 Response to "[2 Gambar] Wanita Sarat Hamil Antara Tiga Maut Kemalangan Kereta Jatuh Gaung"
Catat Ulasan