RIYADH – Di
sebalik tragedi kren tumbang di Masjidil Haram petang Jumaat minggu lalu yang
meragut lebih 100 nyawa dan ratusan jemaah lain cedera, ada juga khabar gembira
serta pasti disambut dengan penuh kesyukuran.
Mulai tahun
depan, jumlah kuota jemaah haji yang akan diluluskan kerajaan Arab Saudi akan
dinaikkan kepada lima juta orang dan dijangka bertambah kepada 30 juta jemaah
haji dalam masa lima tahun lagi iaitu pada 2020.
Ini bermakna penetapan kuota
haji pada musim tahun ini kata Menteri Haji Arab Saudi, Bandar Hajjar, adalah
yang terakhir sebelum jumlah tersebut ditambah dua kali ganda lagi secara
berperingkat-peringkat mulai 2016.
Menurut laporan akhbar
tempatan, Arab News, pertambahan itu susulan projek perluasan kawasan
Masjidil Haram di Makkah yang dijangka dapat diselesaikan selepas musim haji ini
atau sekitar pada awal tahun depan.
Projek pembesaran tersebut
sebenarnya sudahpun 80 peratus siap, sekali gus akan menambah jumlah kapasiti
maksimum jemaah yang boleh melakukan tawaf pada satu-satu masa kepada 100,000
orang setiap jam.
Akhbar berkenaan turut
melaporkan, Hajjar sebagai berkata, pihaknya menyasarkan jumlah jemaah haji yang
boleh ditampung naik kepada 30 juta orang dalam masa lima tahun lagi iaitu pada
menjelang tahun 2020.
Proses pengaturan ketibaan
jemaah haji dari serata dunia itu menurut menteri tersebut, kini lebih lancar
dan ada koordinasi lebih baik dengan agensi hal ehwal haji semua negara menerusi
kaedah sistem elektonik E-Haj.
Pada
musim kali ini, hanya 2.1 juta jemaah haji dari seluruh dunia dibenarkan untuk
mengerjakan ibadah Rukun Islam yang kelima itu susulan pelaksanaan ketat
pengurangan kuota yang diperkenalkan sejak tahun 2013 lalu.
Setahun
sebelum kuota diturunkan, jumlah jemaah haji pada tahun 2012 mencecah rekod
tertinggi dalam sejarah iaitu 3.2 juta orang dan ia termasuk 1.4 juta jemaah
tempatan atau warga asing yang menetap di bumi Arab Saudi.
Jumlah
tersebut naik 2,824 peratus berbanding jumlah jemaah haji pada 1920 hanya 59,000
orang, iaitu tahun pertama apabila kerajaan Arab Saudi mula merekodkan
pendaftaran bilangan jemaah secara lebih sistematik.
Kuota
jemaah mula dilaksanakan pada 2010 hasil inisiatif Pertubuhan Kerjasama Islam
(OIC) berpusat di Jeddah dengan semua negara berdasarkan nisbah 0.1 peratus
daripada jumlah penduduk Islam di negara berkenaan.
Ini
bermakna Indonesia sebagai negara paling ramai umat Islam di dunia boleh
menghantar 196,000 jemaah diikuti Pakistan (95,000) dan Mesir (75,000) manakala
negara-negara lain pula jauh lebih rendah angkanya.
Singapura contohnya hanya dibenarkan menghantar 680
orang sahaja jemaah haji kerana bilangan penduduk Islam di republik pulau kecil
itu amat sedikit, sekali gus ramai terpaksa menunggu giliran yang terlalu
lama.
Peraturan itu namun tidak tertakluk kepada Malaysia
hasil hubungan diplomatik cukup erat kerajaan negara berkenaan dengan Arab Saudi
dan menikmati nisbah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhannya.
Bagaimanapun ekoran projek mega perluasan ruang
kompleks masjid yang terbesar di dunia itu sejak 2013, kuota jemaah haji
Malaysia sepatutnya 30,000 orang terpaksa dikurangkan sedikit kepada hanya
22,320 orang sahaja.
Pertambahan semula kuota dijangka mampu memendekkan
tempoh tunggu giliran apabila ada yang dilaporkan terpaksa menanti lebih 50
tahun sebelum berpeluang menunaikan ibadah haji. –
Agensi/Mynewshub.cc/HAA
0 Response to "Khabar Gembira Dari Arab Saudi Kepada Rakyat Malaysia Selepas Kejadian Kren Jatuh"
Catat Ulasan