Pelakon Syed Aiman tidak menolak
pembawaan budak menjadi punca isterinya, Linda Rafar bertindak berkongsi masalah
mereka di laman sosial. Menjelaskan keadaan itu lebih lanjut, menurut
Syed Aiman, apa yang dikatakan Linda bahawa dia sudah melafazkan cerai
juga tidak benar, malah sehingga kini dia kekal tidak akan melayan
kemahuan Linda untuk ke mahkamah syariah dalam mengesahkan lafaz cerai
tersebut.
“Saya tidak akan ke mahkamah sebab
saya tidak pernah lafazkan cerai. Apa juga tanggapan orang di luar sana
apabila melihat atau membaca melalui laman sosial milik Linda, saya yakin saya
masih waras.
“Memang tidak dinafikan kami bergaduh pagi
itu, tetapi tidaklah sampai saya lafaz cerai. Kalau ikutkan, ini bukan kali
pertama kami bergaduh, bagi saya normal suami isteri berselisih faham.
Saya rasa ini mungkin akibat pembawaan budak sehingga menyebabkan dia
bertindak sampai macam ini,” katanya.
Menjelaskan kembali kenyataan Linda yang
sebelum ini mengatakan fitnah sebagai punca mereka bergaduh, Syed Aiman
berkata, apa sebenarnya yang berlaku sepatutnya tidak dikongsi Linda dengan
mana-mana pihak dan baginya perselisihan rumah tangga lebih baik diselesaikan
antara mereka sahaja.
“Tidak perlu saya ceritakan apa yang berlaku,
sebab ini berkaitan aib kami suami isteri. Cuma apa yang perlu
mereka di luar sana faham, kami bukan setahun dua berkahwin malah sudah
mempunyai anak-anak yang semakin membesar, seharusnya Linda fikir perkara ini
sebelum melakukan apa sahaja,” katanya.
Tidak menolak masih sayangkan rumah tangganya,
kata Syed Aiman, dia akan berusaha untuk memastikan keadaan pulih seperti sedia
kala.
“Melihat pada kenyataan yang dikeluarkan
Linda memang saya terkejut. Saya fikir dia memang tidak sedar apa yang dia
lakukan sehingga menimbulkan kekecohan seperti ini. Jujurnya saya masih
sayangkan dia dan keluarga kami. Tentunya saya harap perkara ini akan segera
selesai,” katanya.
0 Response to "SAYA TIDAK AKAN KE MAHKAMAH SEBAB SAYA TIDAK PERNAH LAFAZ CERAI – SYED AIMAN"
Catat Ulasan