KUALA LUMPUR 9 Mac - Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Ahad berkata ada kemungkinan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang itu melakukan 'air turn back'.
Sehubungan itu, beliau berkata operasi mencari dan menyelamat diperluas bagi mengesan penerbangan MH370 yang dilapor hilang di perairan Laut China Selatan pada awal Sabtu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Menurut terminologi penerbangan, 'air turn back' adalah prosedur pesawat berpatah balik ke lapangan terbang asal akibat pincang tugas atau disyaki pincang tugas sebarang peralatan pada pesawat.
Hishammuddin juga mengesahkan penemuan tumpahan minyak di perairan Vietnam dan pihak berkuasa negara berkenaan sedang berusaha mengesahkan sama ada tumpahan itu berpunca daripada pesawat.
"Saya sahkan memang ada tumpahan minyak tetapi tiada serpihan. Saya dimaklumkan pesawat Vietnam berada di lokasi sekarang bagi mengesahkan apa yang sebenarnya di permukaan air itu," katanya dalam sidang media, di sini.
Hishammuddin juga berkata perbincangan lanjut akan diadakan melibatkan khususnya pegawai Jabatan Penerbangan Awam, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pakar penerbangan.
Penerbangan MAS MH370 yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu.
Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Mengenai laporan bahawa empat penumpang menggunakan pasport palsu, Hishammuddin berkata: "Nama keempat-empat penumpang yang didakwa menggunakan pasport palsu itu sudah dihantar ke agensi perisikan kita dan juga antarabangsa".
Beliau berkata agensi perisikan antarabangsa termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dari Amerika Syarikat bersetuju membantu negara dalam melakukan siasatan.
Hishammuddin turut menegaskan bahawa belum dapat disahkan ada ancaman keselamatan dan pihak berkuasa menyiasat senarai seluruh penumpang, bukan hanya empat yang berkenaan.
Dalam sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya mengesahkan tidak ada sebarang komunikasi dilakukan oleh juruterbang MH370 sebelum pesawat itu hilang pada awal pagi Sabtu
-Bernama
via : rakyatnews.my
0 Response to "Juruterbang Mungkin Lakukan 'Air Turn Back' - Hishammuddin"
Catat Ulasan