KUALA LUMPUR 12 Mac - Malaysia Airlines Bhd (MAS) menghadapi situasi paling getir sepanjang karier penerbangannya selepas pesawat MH370 ke Beijing hilang dalam perjalanannya ke Beijing.
Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad berkata, MAS kini mencuba sedaya-upayanya untuk menyelesaikan masalah yang menimpa dan tidak adil bagi sesiapa untuk mengkritik usaha mencari dan menyelamat penumpang pesawat yang kini memasuki hari ke lima.
"Mengkritik MAS memanglah mudah. Tetapi kita menghadapi masalah yang tidak pernah dirasai oleh mana-mana negara di dunia... memang mudah untuk menyalahkan pihak pengurusan tetapi saya telah melawat pihak jawatankuasa, pusat operasi dan ahli keluarga mangsa.
Saya rasa tiada siapa yang mengurus perkara ini dengan lebih baik daripada MAS," katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum 'Bual Bicara Profesional Bersama Tun Mahathir' di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, hari ini.
Tambahnya, banyak negara turut membantu dalam misi pencarian pesawat malang tersebut termasuk Jepun, Australia dan Singapura dan
Mengulas mengenai kesilapan pihak berkuasa dalam pemeriksaan maklumat penumpang sehingga terlepas pandang dua individu menggunakan pasport palsu ke dalam pesawat, Mahathir menjelaskan perkara tersebut merupakan kesilapan seorang manusia yang tidak disengajakan.
"Ini kesilapan manusia. Tolong bertimbang rasa. Insiden ini membawa keperitan kepada banyak pihak ekoran tidak tahu sama ada ahli keluarga mereka hidup atau mati, di mana mereka berada.
"Sekiranya kita mengalami pengalaman sama saya rasa anda akan rasa kritikan seumpama ini tidak membantu langsung," tegasnya.
Beliau kemudiannya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang andaian mengenai insiden kehilangan peesawat Malaysia Airlines Bhd (MAS) lima hari lalu.
Katanya, segala dakwaan mengenai teori konspirasi atau apa sahaja spekulasi mengenai insiden tersebut hanya membawa implikasi negatif lebih-lebih lagi ianya menjejaskan emosi keluarga yang terlibat.
"Tunggu fakta (siasatan lengkap). Jangan buat sebarang teori. Ianya tidak membantu sesiapa. Jika ada sebarang maklumat berikan (kepada pihak berkuasa).
"Jika tiada maklumat jangan buat spekulasi," ujarnya lagi.
0 Response to "Kritikan Tidak Bawa Pesawat MH370 Pulang - Mahathir"
Catat Ulasan