Polis Tahan 6 Suspek Terlibat Kes Pecah Mesin ATM

Rakyat News

 

KUALA LUMPUR, 12 Mac - Polis menahan enam lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam dua kes pecah Mesin Pengeluaran Automatik (ATM) di Bangsar dan Putrajaya, pada 3 dan 10 Feb lepas.

Dalam kejadian pertama kira-kira 12.05 tengah malam, polis menerima panggilan daripada pembantu penyiasat dalaman syarikat kawalan keselamatan bahawa sebanyak RM80,000 yang sepatutya ada dalam mesin ATM itu hilang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata susulan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 22 dan 24 tahun di rumah masing-masing di Kuala Selangor, pada pagi Khamis lepas.

Katanya, pihaknya juga merampas sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipercayai dibeli daripada hasil duit curi iaitu sebanyak RM20,000.

"Usaha untuk mendapatkan semula baki wang yang dicuri giat dijalankan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini Rabu.

Dalam kes kedua, Gan berkata sebuah mesin ATM di Jalan Presint 2, Putrajaya telah dipecah dan sebanyak RM80,000 dilarikan.

Katanya pemeriksaan pada mesin ATM itu mendapati ia diumpil dan galang tambahan dipatahkan.

"Kami percaya kedua-dua kes ini didalangi orang dalam syarikat keselamatan berkenaan yang mempunyai kemahiran dalam pengoperasian mesin ATM, yang menyebabkan kehilangan wang ini gagal dikesan alat penggera keselamatan yang terdapat pada mesin berkenaan," jelas beliau.

Beliau berkata susulan itu pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 27 dan 29 tahun di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, di sini dan turut dirampas tiga telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM1,720, topeng muka dan lapan keping slip transaksi bank.

 

 

0 Response to "Polis Tahan 6 Suspek Terlibat Kes Pecah Mesin ATM"

Catat Ulasan