Pemungut sampah mati ditikam

Pelabuhan Klang: Seorang pengutip sampah ditemui mati dengan kesan tikaman di dada, perut dan rusuk kanan, pagi semalam.

Mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Zul berusia 40-an, ditemui di bawah tangga bersebelahan premis hiburan di Persiaran Raja Muda Musa, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat, berkata polis menerima panggilan telefon daripada orang awam, memaklumkan mengenai penemuan mangsa yang cedera parah.

Tiada dokumen pengenalan diri

“Ketika ditemui, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui padanya dan kami percaya mangsa meninggal dunia empat jam sebelum ditemui.

“Polis juga menemui sebilah pisau di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa bekerja sebagai pemungut sampah di sekitar pekan ini,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, polis sedang mengesan waris mangsa untuk proses pengebumian dan motif kejadian masih belum diketahui.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

0 Response to "Pemungut sampah mati ditikam"

Catat Ulasan