KAJANG 17 Mac - Peniaga Medan Selera Satay Kajang Prima Saujana menyifatkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) seperti melepaskan batuk ditangga berikutan menempatkan kawasan perniagaan yang tidak strategik di cerunan bukit.
Ahli Zon Bersih Prima Saujana, Faisal Bin Roslan, 28, berkata kawasan baru yang dipindahkan oleh MPKj pada 5 tahun lepas itu jelas menyukarkan pelanggan untuk mencari kedai makanan yang popular dengan hidangan satay Kajang.
"Sebenarnya medan selera itu asalnya daripada (Bandar) Kajang ke Prima Saujana tetapi bagi saya kawasan baru itu tidak strategik kerana kawasan tersebut sempit dan kawasan medan tersebut di bawah cerunan bukit.
"Ia akan menyukarkan untuk pelanggan mahu ke medan satay dan kebersihan kawasan sekitar medan satay turut tidak dijaga," katanya kepada wartawan Rakyat News di sini, baru-baru ini.
Faisal yang juga merupakan penduduk Prima Saujana turut mengakui bahawa pelan pembersihan tidak dijalankan dalam meliputi kawasan medan Satay tambahan pula lokasi perniagaannya menjadi tapak pembuangan sampah pihak tidak bertanggungjawab.
"Kadang-kadang kita lihat ada yang orang membuang kayu dan sampah pun ada.
"Buat masa ini, kita ada membuat program yang dipanggil 'Zon Bersih' namun 'Zon Bersih' hanya meliputi kawasan laluan utama sahaja iaitu kawasan yang terbuka," katanya.
Selain itu, kawasan perniagaan yang ditempatkan oleh MPKj telah memasuki kawasan rizab untuk pembinaan surau penduduk setempat.
"Kawasan medan tersebut telah mengambil 1.6 meter daripada tanah yang diwartakan.
"Kita sebagai penduduk tahu ia tidak releven langsung untuk membuat medan satay di situ memandangkan kawasan tersebut telah diwartakan kepada surau dan masjid," katanya.
Hasil tinjauan kami mendapati kawasan kawasan Medan Selera Satay Kajang Prima Saujana langsung tidak strategik memandangkan kawasan tersebut yang hampir tidak dapat dilihat pengunjung.
Papan tanda medan selera turut dihalangi oleh pohon yang turut menyukarkan pengunjung mengetahui wujudnya medan selera di Prima Saujana.
Ruang tempat letak kereta turut terhad apabila kami mendapati kira-kira ruang tempat kenderaan di kawasan medan tersebut hanya boleh dimasuki 20 kenderaan sahaja.
0 Response to "Peniaga Mahukan Lokasi Perniagaan Lebih Strategik"
Catat Ulasan