KAJANG 12 Mac - Tindakan parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menggunakan keputusan kes melibatkan pemimpin kerana ketiadaan modal untuk dijadikan sebagai bahan kempen pada Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti lawan sengaja menggunakan sentimen tersebut semata-mata bagi mengaburi mata rakyat bahkan insiden penerbangan MH370 yang dipermainkan juga merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.
"Isu parti lawan yang guna kes mahkamah membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi DAP Karpal Singh malah mempermainkan juga isu kehilangan pesawat MH370, ini adalah amat tdak bertanggungjawab,"
"Saya yakin pengundi Kajang bijak, kita ada sistem perundangan. Ini bukan soal Anwar - Barisan Nasional (BN) tetapi ia melibatkan Anwar - Saiful. Malah kes beliau tertangguh berpuluh kali. Mereka tiada modal,"
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau jentera parti di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Mesra Kajang di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Pilihanraya BN bagi PRK Kajang Datuk Seri Noh Omar, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua PDM Taman Mesra Awi Ab. Jalil.
Dalam sesi perjumpaan ini Muhyiddin bertemu dengan barisan jentera parti dalam persiapan menjelang pembuangan undi 23 Mac ini.
Sementara itu Muhyiddin turut mempersoalkan tuduhan parti lawan yang sebelum ini melemparkan tohmahan dengan mengatakan BN mengamalkan nepotisme sedangkan di dalam PKR jelas memperlihatkan kewujudan sifat sedemikian apabila meletakkan isteri kepada Anwar Ibrahim sebagai calon.
"Ramai orang persoal kenapa Wan Azizah yang bertanding? Kenapa mengamalkan sifat nepotisme. Mereka tuduh BN nepotisme. Ini harus diberi penjelasan kepada pengundi. Tempoh kempen masih panjang," ujar beliau.
Selain itu Muhyiddin juga berpendapat rakyat perlu menolak pemimpin yang dikelilingi oleh nafsu rakus hanya kerana mengejar kuasa.
"Jika parti permainkan sistem demokrasi, kita perlu hukum mereka. Ini kerana nafsu rakus politik daripada parti pembangkang. Ini suatu perkara yang cukup malang, hendak bawa mesej ini menerusi PRK, sampai bila hendak ada PRK?"
"Sudah selesai PRU13, kita terima kekalahan BN di Selangor. Ini PRK Kajang hanya kerana hendak memuaskan nafsu dia, rakyat harus hukum pembangkang, kerana kalau tiada PRK mereka tidak 'hidup', sebab itu mereka perlu terus melakukan PRK ini," tegas beliau.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin yang sebelum ini meninjau ke PDM Sungai Chua, Taman Kajang Baru dan Sungai Kantan turut berpuas hati dengan gerak kerja yang sudah mula dijalankan oleh barisan jentera parti.
"Saya baru dapat tinjau ke empat PDM dalam PRK Kajang ini untuk melihat sendiri segala persiapan yang dibuat dan mendapat maklumat daripada mereka disamping itu tahu mengenai sikap pengundi serta isu-isu yang ditimbulkan. Saya berpuas hati setakat ini dengan segala yang telah digerakkan,"
"Daripada laporan yang dibentangkan, ada 'trend' yang menggalakkan (sokongan) berbanding dengan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) lalu. Pengundi Melayu secara umumnya lebih positif walaupun hari kedua selepas penamaan calon," katanya.
0 Response to "PKR Guna Kes Mahkamah, Tiada Modal Berkempen"
Catat Ulasan