Banyak spekulasi di media sosial yang kita dengar selepas kemalangan maut berdekatan Terowong Menora yang mengorbankan dua nyawa, beberapa hari yang lalu. Mungkin sudah masanya kita mengetahui apa yang terjadi sebenarnya.
Ia diceritakan sendiri seorang pemandu bas Transnasional yang merupakan saksi kejadian.
Mengimbas hari kejadian, pemandu bas berkenaan, Hamdan Haron, berkata sepanjang lebuh raya ketika itu dipenuhi kenderaan berat, terutama sekali lorong paling kiri.
Selepas melalui terowong berkenaan, keadaan agak curam dan Hamdan cuba memotong sebuah treler Hino yang dipandu perlahan di lorong sebelah kiri.
Ketika melintasi treler berkenaan, pemandu treler itu membunyikan hon panjang dan melambai tangan kepada Hamdan dalam keadaan yang nampak cemas.
Kata Hamdan, pemandu treler itu menunjukkan isyarat tangan bahawa trelernya mengalami masalah brek dan meminta agar diberi ruang untuk ke lorong kanan. Kerana itu, Hamdan memperlahankan bas dan membiarkan treler berkenaan mendahuluinya.
Tidak sampai beberapa saat kemudian, treler itu menghentam belakang sebuah lori putih, dan seterusnya melanggar sebuah Proton Saga merah dan 'mengheret' kereta itu kira-kira 100 meter ke hadapan. Dalam pada masa yang sama, 5 kenderaan lain turut dirempuh lori berkenaan.
Kemalangan itu mengorbankan Norhayati Wook, 50 dan anaknya, Siti YuslianisRoslan, 20, yang duduk di tempat duduk belakang.
Bagi Hamdan pula, visual treler melanggar Proton Saga berkenaan,'melekat' dan mengheret kereta berkenaan, adalah visual yang takkan dilupakan sepanjang hayatnya.
*Seperti diceritakan En.Hamdan Haron kepada Cars, Bikes & Trucks (CBT)
*Kredit: Oh Media
0 Response to "Kisah Sebenar Kemalangan Maut Terowong Menora"
Catat Ulasan