Ini kerana hanya sebilangan pemohon dibenarkan melakukan semakan selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.
Hakim Mahkamah Persekutuan pada Jun lalu yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria menolak permohonan gereja Katolik untuk merayu berdasarkan kiraan majoriti.
Gereja memohon untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang membenarkan Putrajaya merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 membenarkan Herald menggunakan kalimah Allah.
Peguam, Datuk Dr Cyrus Das yang akan mengetuai gereja esok menyatakan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan pada Jun diputuskan berdasarkan isu yang tidak dibangkitkan oleh mana-mana pihak.
Hujah mereka berdasarkan Seksyen 9 Enakmen Anti Penyebaran yang diluluskan bagi melindungi kesucian Islam.
Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan negeri termasuk Wilayah Persekutuan boleh menguatkuasakan undang-undang mengawal atau menghalang penyebaran kepercayaan lain kepada orang Islam.
10 negeri termasuk Selangor menguatkuasakannya sejak enakmen (Seksyen 9) diluluskan pada 1988 bagi menghalang bukan Islam menggunakan di antara 18 dan 25 perkataan termasuk kalimah Allah.
Ariffin yang membacakan keputusan majoriti itu berkata pihak gereja di Mahkamah Tinggi mencabar keabsahan enakmen itu dan hakim Lau Bee Lan mempertahankan perkara yang dibangkitkan.
“Kesan kepada peruntukan yang menjadi persoalan iaitu (Seksyen 9) adalah tidak sah, batal dan tidak berperlembagaan kerana ia bertentangan dengan Perkara 11(4),” katanya dalam penghakiman 23 Jun lalu menolak permohonan gereja merayu keputusan Mahkamah Persekutuan.
Ariffin berkata penghakiman Lau bermakna pihak berkuasa negeri tidak mempunyai kuasa meluluskan Seksyen 9 enakmen berkenaan.
Beliau kemudian berkata permohonan berkenaan mesti ditolak kerana gereja menggunakan prosedur salah di Mahkamah Tinggi mencabar keabsahan enakmen negeri.
Katanya, prosedur sebenar seperti dinyatakan dalam Perkara 4(3) Perlembagaan Persekutuan di mana perbicaraan perlu bermula dengan kebenaran seorang hakim Mahkamah Persekutuan.
Berdasarkan penghakiman yang diperoleh The Malaysian Insider, gereja berkata isu ini tidak pernah dibangkitkan di Mahkamah Rayuan atau kebenaran merayu semasa permohonan di Mahkamah Persekutuan.
Gereja berkata Lau tidak pernah mendakwa Seksyen 9 melanggar Perkara 11(4).
Peguam Datuk Harpal Singh Grewal berkata dalam permohonan semakan, pemohon perlu menunjukkan ketidakadilan dan salah guna proses mahkamah.
Katanya, Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa besar tetapi semakan hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu.
“Sejak bertahun dulu, tidak terkira banyaknya pemohon yang tampil membuat semakan sebelum mahkamah tertinggi itu mengkaji semula penghakiman mereka namun kurang daripada lima yang berjaya,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Harpal berkata gereja juga boleh membangkitkan perbezaan di antara majoriti dan minoriti terlalu hampir maka semakan perlu didengar di hadapan hakim baru.
“Tiga hakim yang tidak bersetuju itu menulis penghakiman mereka berdasarkan isu kepentingan awam,” katanya.
Ariffin, Tan Sri Raus Shariff, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Tan Sri Suriyadi Halim membentuk majoriti.
Tiga hakim yang tidak bersetuju adalah Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Zainun Ali.
Pada 14 Oktober 2013, hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang mengetuai panel berkata halangan penggunaan kalimah Allah bagi mengelak penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam di Malaysia.
Beliau berkata keselamatan negara dan ketenteraman awam boleh terancam jika penerbit Herald dibenarkan menggunakan kalimah Allah.
“Kami mendapati kalimah Allah bukan sebahagian daripada agama dan amalan Kristian,” katanya.
Dawson berkata gereja turut membangkitkan isu perundangan seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kebebasan beragama yang tidak dipertimbangkan oleh majoriti hakim. – Malasian.Insider
0 Response to "Kemelut Kalimah Allah Berterusan, Gereja Katolik Kembali Ke Mahkamah"
Catat Ulasan