Bachok - Kelicikan sepasang suami isteri yang
menjalankan aktiviti mencuri duit tabung masjid sejak beberapa bulan lalu
akhirnya tumpas apabila mereka ditangkap penduduk ketika kembali untuk 'mengail'
duit, semalam.
Pasangan ini dicekup di Masjid Mukim Melawi,
dekat sini, sekitar jam 6 petang.
Modus operandi mereka membawa bersama tiga anak
berusia setahun hingga enam tahun ke masjid untuk mengaburi mata jemaah.
Pasangan berusia 30-an itu sebelum ini
berpura-pura alim singgah ke masjid menaiki motosikal sebelum berwuduk, solat
dan membaca yasin.
Penghulu Mukim Melawi, Mat Lazim Mat Ya,
berkata, kegiatan pasangan itu dikesan penduduk sejak Mei lalu apabila perbuatan
mereka berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan di
dalam masjid berkenaan.
Menurut Mat Lazim, pasangan ini dipercayai
telah melakukan kegiatan mencuri di masjid berkenaan lebih lima kali.
“Mereka berlagak alim dengan memakai sedang
jubah, singgah wuduk, solat dan berpura-pura membaca Yasin bagi mengaburi mata
jemaah sebelum bertindak mencuri tabung masjid ketika orang tak ada.
“Rakaman menunjukkan mereka mengail sebanyak
mungkin duit daripada tabung sehinggalah ada orang masuk ke masjid dan pernah
sehingga salah seorang daripada anak mereka tertidur kerana menunggu terlalu
lama,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, pagi tadi.
Menurutnya, rakaman juga menunjukkan suami
isteri itu ‘mengail’ duit dalam tabung menggunakan peralatan khas dan gam tikus
yang dibawa bersama, manakala anak-anak mereka pula bertindak sebagai pengawal
kawasan untuk memaklumkan jika ada orang masuk ke dalam masjid.
Mat Lazim berkata, semalam apabila penduduk
melihat suspek ke masjid menaiki motosikal, mereka segera menangkap suspek
sebelum menunjukkan rakaman CCTV yang menyebabkan suspek mengaku jenayah yang
dilakukan.
Katanya, suspek yang berasal daripada Kuala
Krai dan menyewa di Bachok mengaku menjalankan kegiatan mencuri selepas waktu
Asar kerana ketika itu masjid agak lengang.
Beliau berkata, selepas panik diserbu penduduk,
isteri suspek juga dipercayai menyorokkan gam tikus yang dibawa ke dalam kain
telekung wanita.
"Bau kuat gam itu dikesan seorang jemaah wanita
yang mahu menunaikan solat Maghrib semalam. Dia menjumpai gam itu berbalut dalam
kain telekung dan menyerahkannya kepada ahli jawatankuasa masjid.
"Namun, kami tak buat laporan polis kerana
mereka ditangkap sebelum sempat mencuri. Kami yakin dengan kejadian ini mereka
tidak akan berani lagi mencuri di masjid. Lagipun, penduduk kini semakin
berwaspada dengan kegiatan mencuri di sekitar kampung ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok,
Deputi Superintendan, Abdul Hamid Che Ahmad memaklumkan tiada laporan polis
dibuat penduduk mengenai kejadian itu.
Namun, suspek ditahan untuk siasatan Seksyen
411 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menyimpan motosikal curi.
Sabit kesalahan, OKT (orang kena tangkap) boleh
dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun
penjara.
Bagaimanapun, isteri dan anak- anak suspek
dibebaskan. - SH
0 Response to "Ambil Wuduk, Baca Yassin Dan 'Mengail' Di Surau!"
Catat Ulasan