Petaling Jaya – Sanggup membazir wang membeli 
selendang bunga berharga sehingga RM5,000 setiap satu untuk dihadiahkan kepada 
pelayan pelanggan (GRO) sebelum dibawa ke hotel untuk melakukan 
maksiat.
Itu antara kegilaan sekumpulan ahli perniagaan yang 
rambang mata apabila ditawarkan 53 wanita GRO oleh sebuah pusat hiburan terletak 
di Dataran Mentari, Sungai Wey di sini.
Difahamkan selendang berharga antara RM100 hingga 
RM5,000 itu dilelong pemilik premis kepada pelanggan yang sanggup membida untuk 
mendapatkan pelacur warga asing itu.
Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar sepasukan Skuad 
Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) polis Bukit Aman 
bersama Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis 
Daerah (IPD) Petaling Jaya diketuai Asisten Superintendan Mohd Shokri Abdullah, 
kira-kira 11.30 malam kelmarin.
Seramai 53 wanita dan seorang pondan warga Thailand 
yang bekerja sebagai GRO di premis itu tidak sempat melarikan diri dan berjaya 
ditahan polis untuk siasatan selanjutnya.
Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman Senior 
Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pihaknya melakukan risikan dan 
pemantauan selama dua minggu sebelum menyerbu premis berkenaan.
Menurutnya, pusat hiburan elit itu dilengkapi 
kamera litar tertutup (CCTV) serta turut menyediakan pengawal keselamatan untuk 
mengesan kehadiran pihak penguatkuasa.
“Modus operandi premis terbabit adalah dengan cara 
GRO itu mendekati pelanggan dengan mengenakan bayaran serendah RM50 
sejam.
“Mereka kemudian turut dipercayai menawarkan 
perkhidmatan seks di luar premis dengan bayaran antara RM150 hingga RM300,” 
katanya.
Dia berkata, pemilik premis turut mengadakan majlis 
khas menjual selendang yang membolehkan pelanggan memilih wanita GRO 
dimahukan.
“Semua GRO itu dipercayai masuk ke negara ini 
menggunakan pas lawatan sosial.
“Seramai 60 pelanggan turut ditahan polis untuk 
pemeriksaan selain 12 lelaki membabitkan warga tempatan, Bangladesh, Filipina 
dipercayai penjaga dan pekerja premis berkenaan,” katanya.
Menurutnya, polis turut merampas buku catatan GRO, 
peralatan karaoke, selendang bunga, set televisyen serta wang tunai berjumlah 
RM3,400.
“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 
39(b) Peraturan Imigresen dan Seksyen 55B Akta Imigresen,” 
katanya.
0 Response to "BELAIAN RM5,000 GRO"
Catat Ulasan