Coli selamatkan wanita daripada terbunuh


Berlin: Seorang wanita panjang umur apabila terselamat daripada mati ditembak selepas peluru yang melantun ke arahnya terkena besi di dalam coli dipakainya.

Ketika kejadian, wanita berusia 41 tahun itu dan suaminya sedang berbasikal di sekitar Mecklenburg-Vorpommern apabila mereka secara tidak sengaja memasuki kawasan memburu babi hutan.

Sewaktu melalui ladang berhampiran bandar Gadebusch, wanita itu secara tiba-tiba merasa sakit di bahagian dada.

Wanita itu memeriksa dadanya dan mendapati dia seperti terkena tembakan. Namun, besi dalam colinya berjaya menepis peluru itu menyebabkan dia hanya mengalami lebam tanpa menembusi badannya.

Suami wanita itu ternampak seorang penembak berusia 53 tahun di ladang berhampiran dan segera memaklumkannya mengenai kejadian menyebabkan acara memburu itu segera ditamatkan.

Wanita itu kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Anggota polis dihantar ke tempat kejadian dengan membawa pengesan logam serta anjing penghidu terlatih untuk mengesan bahan letupan bagi mencari serpihan peluru.

Menurut jurucakap polis André Falke, anggota mereka menemui bangkai babi hutan di kawasan berhampiran. Mereka mengesyaki peluru itu disasarkan kepada haiwan terbabit, kemudian melantun dan terkena mangsa.

Suruhanjaya Jenayah Gadebusch sedang menyiasat kejadian itu sebagai kes cuai yang menyebabkan kecederaan. Siasatan juga dijalankan di kawasan memburu itu sama ada ia diletakkan papan tanda sewajarnya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/69447#sthash.mNVrovKK.dpuf

0 Response to "Coli selamatkan wanita daripada terbunuh"

Catat Ulasan