$%Entah mengapa, secara tiba-tiba luahan seorang lelaki yang mendedahkan dirinya sebagai anak Mohd Affandi (suami Mona Fandey) hangat diperkatakan di media sosial.
Menurut sumber tertentu, luahan menyayat hati
lelaki ini sebenarnya pernah disiarkan di akhbar Harian Metro pada tahun
2010.
Namun, ia kembali menjadi viral di media sosial
untuk menyedarkan masyarakat Malaysia tentang keperitan yang dialami insan yang
mempunyai hubungan darah dengan Mohd Affandi dan Mona Fandey.
Ikuti kisah anak tiri Mona Fandey yang tidak
didedahkan identitinya ini…
SIAPA yang ingin dilahirkan sebagai anak
pembunuh? Saya tidak minta dilahirkan sebagai anak Mohd Affandi, tetapi Tuhan
sudah menentukan begitu. Saya tidak pernah menyesal dilahirkan ke dunia. Sebagai
seorang Islam, saya terima takdir saya.
Yang menyedihkan ialah sikap masyarakat
yang tidak faham. Mengapa saya turut dipersalahkan di atas perbuatan ayah dan
ibu tiri saya? Adakah semua anak pembunuh turut menjadi pembunuh…
penjahat?
Bukan sehari dua saya menghadapi tekanan
masyarakat, tetapi sejak zaman kanak-kanak hingga sekarang. Saya diberhenti atau
diminta berhenti empat pekerjaan dalam tempoh dua tahun lalu.
Malah, hasrat saya untuk bertunang juga
tidak kesampaian apabila keluarga kekasih saya menentang hubungan kami apabila
mengetahui saya ada hubungan darah dengan Mohd Affandi dan Mona Fandey. Saya
cukup tertekan kerana hubungan dengan kekasih sangat baik, walaupun dia tahu
latar belakang keluarga saya.
Namun sebaik saja memaklumkan kepada
keluarganya, mereka tidak dapat menerima saya dan meminta hubungan kami
diputuskan.
Bayangkan perasaan ibu saya yang sudah
membeli cincin dan memaklumkan kepada saudara-mara supaya bersiap sedia kerana
akan menghantar rombongan peminangan, tetapi akhirnya terpaksa menebalkan muka
memberitahu majlis itu tidak jadi.
Sebelum itu, ketika di kolej saya pernah
bercinta dengan dua gadis, tetapi akhirnya terputus selepas mereka mengetahui
saya anak Mohd Affandi dan Mona Fandey.
Derita saya bukan hanya dalam percintaan,
malah sukan. Saya mewakili Kelantan dan kini Kuala Lumpur dalam acara taekwando.
Dalam satu pertandingan, ada peserta mengundurkan diri dan tidak mahu berlawan
dengan saya apabila mengetahui saya anak Mohd Affandi kerana bimbang saya
membawa ilmu arwah ayah dan ibu tiri saya.
Betapa malu dan rasa terhinanya saya.
Adakah mereka menganggap saya tiada kebolehan? Banyak lagi tekanan masyarakat
yang cukup mengguris hati, tetapi apalah daya saya. Saya tidak mampu menemui
semua orang dan menceritakan kesedihan dan kisah sebenar saya.
Inilah tujuan utama saya mendedahkan diri
dan menceritakan kisah saya kepada umum. Saya bukan ingin mencari publisiti.
Malah, saya bersedia menghadapi ‘serangan’ keluarga kerana yakin saudara-mara
yang membaca kisah ini akan marahkan saya.
Bagaimanapun, saya cuma mahu keadilan.
Saya mahu masyarakat faham dan tahu kisah sebenar dan tidak terus menyeksa saya
di atas kesalahan yang saya tidak lakukan. Saya hanya mahu menjalani kehidupan
normal seperti insan lain yang mempunyai kerjaya dan keluarga
sendiri.
Terlalu berat rasanya untuk melangkah
mengharungi kehidupan hari ini. Bayangkan kerana wajah saya mirip ayah, saya
dipaksa makan pelbagai ubat oleh keluarga bertujuan mengemukkan diri supaya
orang tidak cam yang saya anak Mohd Affandi.
Saya cuma mahu masyarakat tahu saya hanya
membawa nama ayah, tetapi saya tidak pernah menjadi anak ayah. Saya tidak pernah
mendapat kasih sayang ayah kerana arwah (Mohd Affandi) meninggalkan ibu ketika
saya dalam kandungan.
Saya tidak pernah tahu siapa ayah saya
sehingga saya berusia sembilan tahun apabila ibu memanggil saya dan memberitahu
yang ayah saya masih hidup. Ketika itu pun saya hanya melihat wajah arwah di
televisyen kerana didakwa atas tuduhan membunuh.
Berikutan terlalu gembira saya sebenarnya
ada ayah, saya bercerita kepada rakan di sekolah bahawa Mohd Affandi itu ayah
saya. Biasalah sebagai kanak-kanak, kita tidak dapat memikirkan baik dan
buruknya.
Akhirnya saya menjadi mangsa cercaan dan
yang paling saya tidak dapat bersabar apabila mereka menghina dan sindir saya
dengan mengaitkan nama ayah saya.
Kata-kata yang paling saya tidak dapat
dengar dan terima ialah “engkau nak jadi macam bapa engkau. Bapa engkau
pembunuh.” Kata-kata itu menyebabkan saya menjadi ‘panas hati’ dan selalu
bergaduh.
Sebab itu saya belajar taekawondo ketika
berusia 12 tahun. Saya menjadikan gelanggang taekwondo sebagai tempat melepaskan
geram dan perasaan marah hingga memperoleh tali pinggang hitam.
Kali pertama saya berjumpa arwah ayah di
Penjara Kajang ketika berusia 16 tahun. Bukan seperti kanak-kanak dan remaja
lain yang membesar dengan kasih sayang ayah mereka, bayangkan saya berjumpa ayah
kandung buat kali pertama di penjara.
Sebaik saya memasuki bilik perjumpaan
tahanan dengan waris dan mengangkat telefon, ayah memanggil nama saya. Saya
terkejut kerana walaupun tidak pernah berjumpa, ayah mengenali
saya.
Pada pertemuan itu, ayah hanya bertanya
khabar dan perkembangan saya. Pesanan ayah saya ingat hingga ke hari ini iaitu
supaya jangan setakat belajar taekwondo, belajar juga silat.
Selepas itu, saya sering mengutus surat
kepada ayah dan pernah berjumpanya dua kali sebelum saya menerima berita ayah
akan dihukum gantung keesokannya (2 November 2001). Sebenarnya keluarga saya
mengetahui tarikh hukuman itu seminggu lebih awal, tetapi merahsiakannya dan
hanya memaklumkan kepada saya pada hari terakhir.
Saya dan keluarga bertolak dari Pantai
Cahaya Bulan (Kelantan) ke Penjara Kajang pada 1 November 2001. Seingat saya,
kami bertolak menaiki empat kenderaan. Sejurus tiba pada hari sama, ayah mahu
berjumpa saya bersendirian manakala yang lain tidak dibenarkan
masuk.
Saya di dalam bilik selama tiga jam
bersama ayah. Itu kali pertama kami bersentuhan kerana sebelum itu kami
dipisahkan oleh dinding kaca dan hanya berbual menerusi telefon.
Saya masih ingat kata-kata ayah yang
mengaku dia tidak bersalah. Menurutnya, dia tidak membunuh Datuk Mazlan (Idris),
sebaliknya semua itu angkara Mona dan Juraimi Husin. Bagaimanapun, arwah berkata
dia menerima takdirnya.
Saya difahamkan oleh petugas penjara, ayah
berpuasa selama tiga tahun secara berterusan sehingga hari
kematiannya.
Saya tidak tahu adakah ayah berpuasa
kerana insaf di atas apa yang berlaku. Saya tidak berhak memberi pandangan dan
andaian kerana itu antara ayah dan Allah SWT.
Yang pasti, ayah sudah menerima
balasannya. Yang menghairankan ialah, mengapa masyarakat masih menghukum
zuriatnya yang tidak tahu menahu mengenai kejadian (pembunuhan Mazlan) yang
berlaku.
Kami semuanya tiga beradik (daripada
zuriat Mohd Affandi). Abang saya berusia 27 tahun adalah anak hasil perkahwinan
pertama manakala adik perempuan saya, Mazdiana, kini 18 tahun, adalah anak hasil
perkongsian hidup dengan Mona.
Setiap kami mempunyai pengalaman sedih.
Bagaimanapun, antara ketiga-tiga anak ayah, saya seorang yang berjaya
disembunyikan daripada media hinggalah hari pengebumian ayah.
Sejak itu hidup saya berubah. Saya tidak
tahu bila derita saya akan berakhir, tetapi saya tidak berhenti
berdoa.
Kepada masyarakat yang membaca kisah saya,
saya hanya berharap mereka faham, saya juga ciptaan Allah yang ingin melalui
kehidupan dengan penuh ketenangan.
(Sedikit latar belakang kejadian untuk
tatapan generasi muda:
Pada tahun 1993, negara ini telah
digemparkan dengan satu kes pembunuhan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri di
Pahang yakni Datuk Mazlan Idris.
Beliau dibunuh pada 13 Julai 1993 di sebuah
rumah Kampung Peruas Ulu Dong, Raub. Pembunuhan itu amat ngeri di mana jasad
Allahyarham telah dikerat-kerat 18 dan ditanam di sebuah rumah kosong di kampong
berkenaan.
Setelah disiasat, 3 orang telah ditahan
iaitu Mona Fendi, suaminya Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka Juraimi
Hussin. Kesemua mereka telah dibicarakan dan didapati bersalah oleh Mahkamah
Tinggi Temerloh pada 1995 dah dihukum gantung pada tahun 2001.)
Semoga kisah ini menjadi pengajaran buat
masyarakat di luar sana agar tidak menghukum insan yang tidak
bersalah.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Mangsa dibunuh
dengan kejam, lehernya ditetak dengan kapak sebanyak 3 kali sehingga putus.
Badan mangsa kemudian dikerat 18, sementara beberapa bahagian kulit dan
dagingnya dilapah. Untuk melupuskan bukti, mayat mangsa dimasukkan ke dalam
lubang sedalam 1.8 meter dan ditutup dengan lapisan simen.
Tidak kurang
sensasinya ialah gambar di akhbar-akhbar menunjukkan Menteri Besar Pahang ketika
itu, Tan Sri Khalil Yaakob, mengeluarkan kepala Mazlan dari lubang itu selepas
polis menemuinya.
Affandi dan Mona
juga mengasah sebilah pisau yang digunakan untuk memotong tubuh Mazlan kepada 18
bahagian.
Sehari sahaja
selepas pembunuhan itu, mereka membelanjakan lebih RM160,000 untuk membeli
kereta, telefon bimbit dan barangan kemas.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Mona Fandey: Kes pembunuhan paling ngeri dalam sejarah jenayah di Malaysia
Mohon maaf terlebih dahulu kepada mana-mana individu yang berkaitan,
samada yang masih hidup ataupun yang telah mati. Kisah sedih dan sadis ini
disiarkan hanya untuk berkongsi satu pengajaran dan pedoman, bukan tujuan untuk
menghina atau mengaibkan mana-mana individu yang terlibat. Dengan
izin.
Kisah benar ini telah berlaku 17 tahun lalu, dimana negara telah
digemparkan dengan satu kes pembunuhan kejam dan sadis terhadap Datuk Mazlan,
iaitu seorang ahli politik yang merangkap ADUN Batu Talam, Raub Pahang. Mayat
mangsa ditemui 10 hari kemudian dan cara mangsa menemui ajalnya melampaui
pemikiran batas manusia normal. Pembunuhan ini juga disifatkan tanpa peri
kemanusiaan.
Motif pembunuhan semata-mata kerana tamakkan harta dan wang ringgit.
satu pembunuhan paling ngeri melibatkan tokoh politik tanah air. Pembunuhan ahli
politik itu telah dirancang dengan rapi dengan mengorek lubang di dalam stor
untuk menanam mayat mangsa seminggu sebelum mangsa dibunuh. Mangsa dipercayai
dibunuh antara jam 10 hingga 12 malam pada 2 julai 1993.
Pembunuhan berlaku ketika mangsa dipercayai semasa upacara mandi bunga
bagi upacara kekebalan serta mengukuhkan kedudukannya dalam bidang politik.
Upacara mandi bunga dijalankan dengan mangsa diarah berbaring di atas lantai di
dalam bilik air untuk disiram. Mangsa kemudian diarah menutup mata dan
diletakkan bunga dikedua-dua belah mata dengan tujuan mangsa tidak membuka
matanya, dan diminta bersabar sehingga selesai upacara. Disebabkan percaya dan
terlalu taksub kepada unsur-unsur spiritual mangsa menjadi korban.

Sebelum kejadian, Tertuduh kedua Affandi telah membawa mangsa ke kuala
lumpur untuk mengeluarkan sejumlah wang yang besar di sebuah bank di Kampung
Baru, Kuala Lumpur.
Kes diketahui apabila Datuk mazalan telah hilang, tidak hadir dalam satu
perjumpaan mensyuarat di Raub dan pihak polis mensyaki kemungkinan beliau telah
dicolek. Menteri Besar Pahang ketika itu Datuk Khalil Yaacob dan Speaker DUN
tidak tahu kemana perginya Datuk Mazlan. Satu laporan polis telah dibuat oleh
ADUN Benta, Datuk Zuki Kamaludin pada 18 Julai 1993 setelah Datuk Mazlan telah
beberapa kali tidak muncul dalam beberapa majlis rasmi di Pahang sejak 3 Julai
1993.
Bertindak diatas laporan itu pihak polis telah membuat siasatan
terperinci dan pemeriksaan dibuat ke rumah separuh siap pasangan bomoh dan
pembantu mereka yang sering dikunjungi oleh Datuk Mazlan. Pihak polis menemui
seorang lelaki bernama Juraimi dan bertanyakan dimana Mona dan Affandi. Juraimi
mengatakan mereka ke Kuala Lumpur. Juraimi ditahan untuk siasatan
selanjutnya.
Siasatan awal mendapati mangsa dilihat memandu kereta bersama pasangan
bomoh itu keluar dari kampung Hulu Dong, kemudian mangsa didapati hilang bersama
kereta miliknya itu. Pihak polis membuat pengiklanan di akhbar dan salesman
terbaca iklan itu dan memaklumkan kepada pihak polis. Siasatan polis mendapati
kereta itu telahpun dijual di Pudu, Kuala Lumpur. Akibat kealpaan mereka menjual
kereta itu, mensabitkan mereka dalam kes pembunuhan itu.
Lebih kurang dua minggu pihak polis menjalankan siasatan dan
akhirnya berjaya menahan pasangan bomoh itu di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Dalam
siasatan dijalankan Afendy memberitahu bahawa Datuk Mazlan telah tiada. Hasil
maklumat itu mengukuhkan
lagi penglibatan ketiga-tiga mereka. Semasa di Lokap IPD Raub Affandi
memberitahu kepada Juraimi… “Juraimi, semua dah bongkar… ceritalah
sebenarnya”.
Juraimi kemudian membawa polis kepenemuan ngeri bahagian tubuh Mazlan
yang dikeluarkan dari lubang yang bersimen dalam bilik stor dekat sebuah rumah
tidak bernombor di Kampung Peruas, Hulu Dong, daerah Raub, Pahang.
Semasa penyiasatan dijalankan, pistol kepunyaan Datuk Mazlan juga
dijumpai berhampiran rumah tersebut. Turut ditemui 4 butir peluru dan kapak yang
digunakan untuk menetak leher mangsa.
Kawasan sekitar Hulu Dong diselubungi suasana pilu berikutan kejadian
pembunuhan wakil rakyat kesayangan ramai ketika itu, penduduk kampung tidak
manjangka rumah yang sedang dalam pembinaan di atas tanah kepunyaan ahli politik
dihujung kampung itu menjadi lokasi pembunuhan ngeri.

Kes perbicaraan awal dibicarakan di Mahkamah Sesyen Raub, kemudian
dibawa ke Mahkamah Tinggi Temerloh. 20 September 1994 bermulalah perbicaraan kes
ini di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang. Mona
Fendy 38. Muhamad Affandi Abdul Rahman 37, dan pembantu mereka Juraimi Hussin
24, dituduh di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan, dibacakan bersama Sesyen 34
kanun keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Perbicaraan ini diadili oleh 7 orang juri.
Perbicaraan diberitahu bagaimana pasangan bomoh itu telah merancang
pembunuhan itu sebulan sebelumnya dan arahan kepada Juraimi beberapa hari
sebelum pembunuhan itu antara lain ialah untuk mengasah kapak bagi memancung
kepala Mazlan dan menggali lubang besar.

Wang dikatakan sebagai motif pembunuhan itu. Beberapa jam sebelum Mazlan
dikerat, pasangan itu memujuknya mengeluarkan wang tunai hampir RM300,000 di
beberapa bank dengan alasan pasangan itu boleh menggandakan jumlah wang itu
selepas Mazlan menjalani upacara ‘mandi bunga'.
Kisah di mahkamah mengenai pembunuhan itu sungguh menyeramkan - Mazlan
disuruh baring sebelum Juraimi menetak lehernya dengan kapak selepas diberi
jaminan oleh Affandi bahawa ‘duit yang banyak akan jatuh dari
atap'.
Pihak pendakwa berhujah bahawa Mazlan mengeluarkan sejumlah wang yang
banyak bukan untuk tujuan memberikannya kepada penyokongnya tetapi kerana dia
percaya kepada tipu helah ‘wang buat wang' pasangan itu kerana dia memerlukan
wang yang banyak bagi tujuan politik.
Mahkamah diberitahu bahawa mangsa pada masa itu bertanding bagi jawatan
Ketua Bahagian UMNO.
Juraimi hanya diberikan RM180 bagi menanam mayat itu sebaik saja selepas
pembunuhan oleh pasangan itu yang kemudian bergegas ke Kuala Lumpur dan bermalam
di sebuah hotel.
Lapan jam selepas pembunuhan itu, Affandi dan Mona mula membeli-belah
menggunakan wang Mazlan. Seawal 7.30 pagi keesokannya, mereka telah berada di
bilik pameran kereta di Melaka untuk membeli sebuah kereta Mercedes Benz 280
walaupun kedai itu belum dibuka untuk perniagaan pada hari itu.

Beberapa hari selepas itu, pasangan itu, yang digambarkan di mahkamah
sebagai kesempitan wang sebelum pembunuhan itu, membelanjakan lebih RM20,000
bagi barang kemas dan perabot. Mona juga membayar RM13,000 untuk pembedahan
plastik dua minggu selepas pembunuhan itu manakala suaminya menubuhkan beberapa
syarikat.
Keseluruhannya, pasangan itu membelanjakan kira-kira RM300,000 dalam
masa 10 hari membeli-belah sebelum penahanan mereka, satu jumlah yang sama
dengan apa yang dikeluarkan oleh Mazlan dari akaun banknya.
Cerita yang diberitahu dalam pembelaan mereka juga tidak kurang
sensasinya tetapi semua tidak dipercayai oleh hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah
Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan.
Affandi, misalnya, memberitahu mahkamah bahawa Mazlan berhutang RM2.5
juta kepadanya sebagai pertukaran kepada tiga barang yang menurutnya pernah
menjadi milik Allahyarham Presiden Sukarno - tongkat, tangkal dan
songkok.
Lembaga Pengampunan Pahang turut menolak permohonan mereka untuk
mendapat pengampunan diraja.
Perbicaraan ini diikuti dengan minat oleh segenap lapisan masyarakat.
Sepanjang perbicaraan ini tertuduh menganggap seperti tiada apa yang berlaku,
masih boleh lagi tersenyum dan berlawak terutama Mona. Dimasa Mahkamah berhenti
rehat, Mona boleh lagi menyanyi. Terdapat percanggahan keterangan diantara
mereka. Juraimi mengatakan Mona dan Affandi yang merancang pembunuhan ini,
makala Mona dan Affandi pula mengatakan Juraimi hilang pertimbangan dan
bertindak membunuh mangsa.
Pada 9 Februari 1995 Mahkamah mendapati ketiga-tiganya bersalah membunuh
dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Mereka ditempatkan di Penjara Kajang dan berbagai cerita mesteri
disebarkan sepanjang penahanan Mona Fendey selama 4 tahun.
Kronologi kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris
Perbicaraan selama 69 hari pada 1994 mendengar cerita sensasi berhubung
ilmu hitam, wang dan politik.
Dilahirkan pada 1956, Maznah binti Ismail atau lebih dikenali sebagai
Mona Fandey, barasal dari Perlis. Pernah cuba menjadi penyanyi dengan
menghasilkan album pertama, Diana 1 pada 1987. Ketika itulah beliau menggunakan
nama komersial, Mona Fandey yang kekal popular kepada kita sehingga ke hari
ini.
Ketidakupayaan Mona menyanyi dengan baik, menyebabkan beliau beralih
arah kepada pengamal perubatan tradisional dan mempu hidup mewah. Kerjaya
sebagai bomoh bersama suaminya menjadikan mereka hidup dalam kemewahan
sehinggakan mereka mampu memiliki beberapa kereta mewah diantaranya
Jaguar.
Mohd Noor Affendi Abdul Rahman adalah suami ke-3 Mona dan pernah
menuntut ilmu persilatan di Indonesia
Pembunuhan dipercayai bermotif wang kerana beberapa jam sebelum Mazlan
dibunuh, pasangan itu memujuknya mengeluarkan wang tunai hampir RM300,000
daripada beberapa bank dengan alasan boleh menggandakan jumlah itu selepas
Mazlan mandi bunga?
Wang itu kemudian digunakan untuk membeli kereta Mercedes Benz 280
dengan harga RM125,000 dan telefon bimbit RM10,500 secara tunai. Mereka juga
membeli barangan kemas berjumlah hampir RM40,000 selain peralatan elektrik dan
perabot (RM20,000). Mona turut menjalani pembedahan plastik dengan kos lebih
RM13,000 pada 15 Julai 1993.
13 Julai 1993: Juraimi ditahan di Balai Polis Dong selepas disyaki
menagih dadah dan kemudian ditahan di Balai Polis Raub.
18 Julai 1993: Selepas dua minggu Mazlan gagal dikesan, satu laporan
polis telah dibuat oleh ADUN Benta, Datuk Zuki Kamaludin.
19 Julai 1993: Polis memulakan siasatan kehilangan Mazlan. Juraimi
dibawa polis ke rumah di Ulu Dong dan polis menemui pita video, album gambar,
keratan akhbar dan sijil saham milik Mazlan.
20 Julai 1993: Kira-kira jam 11.45 malam, Mohd Affandi dan Mona ditahan
di sebuah rumah Jalan 2/27C Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
21 Julai 1993: Mohd Affandi dibawa ke Balai Polis Raub.
23 Julai 1993: Mayat Mazlan dijumpai di sebuah rumah di Kampung Pamah
Dong, Ulu Dong, Raub Pahang. Mayatnya yang dipotong 18 bahagian tertanam di
bilik stor.
1 Ogos 1993: Rangka tiga beranak ditemui didua tempat di Terengganu,
dikatakan dikerat dan ditanam. Modus operandinya hampir sama dengan pembunuhan
Mazlan.
10 Ogos 1993: Polis mendapat perintah reman terhadap Mohd Affandi, Mona
dan Juraimi hingga 16 Ogos bagi membantu siasatan polis berhubung kes pembunuhan
seorang wanita, Fatimah Mohamad, 32.
15 Ogos 1993: Polis menjumpai beberapa anggota manusia yang ditanam di
kawasan bekas rumah yang pernah didiami pasangan bomoh Mohd Affandi dan Mona di
Kampung Nelayan, Teluk Gong, Klang.
17 Ogos 1993: Polis dapat perintah mahkamah supaya pasangan bomoh itu
dan Juraimi ditahan di Penjara Pudu dan Kajang.
26 Oktober 1993: Siasatan awal kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah
Majistret Raub.
18 Disember 1993: Mahkamah Majistret Raub memerintahkan kes itu dibawa
ke Mahkamah Tinggi Temerloh untuk perbicaraan atas tuduhan
membunuh.
3 September 1994: Mohd Affandi dan Mona dihadapkan ke Mahkamah Tinggi
Temerloh atas tuduhan membunuh Adun Batu Talam, Datuk Mazlan Idris.
20 September 1994: Perbicaraan kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah
Tinggi Temerloh. Juraimi, Mohd Affandi dan Mona mengaku tidak bersalah atas
tuduhan niat bersama membunuh Mazlan.
9 Februari 1995: Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman gantung
sampai mati ke atas Mohd Affandi, Mona serta Juraimi kerana bersalah membunuh
Mazlan.
10 Februari 1995: Mohd Affandi, Mona dan Juraimi yang didapati bersalah
membunuh Datuk Mazlan, dihantar ke Penjara Kajang.
Antara 16 Februari 1995 hinga 20 Oktober 1997: Mohd Affandi, Mona dan
Juraimi mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh dan Mahkamah
Rayuan.
24 Oktober 1997: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Abdul
Malek Ahmad dan Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim menolak rayuan
mereka.
2 November 2001: 5.59 pagi, Mona Fandey, Mohd Affandi dan Juraimi
digantung serentak di Penjara Kajang.
Mona dan suaminya, Affandi telah disemadikan diTanah Perkuburan
Ahli-ahli Kariah Masjid Kajang di Kampung Sungai Kantan, Kajang. Manakala
pembantunya, Juraimi telah dikebumikan di kampungnya, Kampung Telok Gong,
Pelabuhan Klang, Selangor.
Selepas berkuburnya kisah Mona Fendy, akhirnya terbit beberapa buah buku
yang menceritakan tentang Ilmu hitam yang digunakan oleh Mona Fendy dalam
kehidupan beliau dan juga filem Dukun yang jalan ceritanya diadaptasi dari kisah
Mona Fendey.
0 Response to "Luahan Hati Sedih Anak Lelaki Mona Fendy Ini Pasti Membuatkan Anda Semua Menitiskan Air Mata"
Catat Ulasan