Sydney - Alam semesta semakin mendekati garis
penamatnya, namun manusia tidak perlu panik kerana usianya masih berbaki
kira-kira 100 bilion tahun lagi, maklumat itu didedahkan sekumpulan penyelidik
dari Australia.
Pengkaji dari Pusat Antarabangsa Kajian
Astronomi Radio (ICRAR) Australia itu sudah mengukur tenaga yang dihasilkan di
seluruh 200,000 galaksi dengan lebih tepat berbanding sebelum ini. Agensi berita
Xinhua melaporkan, penemuan itu hanya separuh daripada keadaan sebenar dua
bilion tahun lalu dan berterusan semakin pudar.
Simon Driver dari ICRAR berkata, penyelidikan
itu kelihatan 'kabur' namun manusia masih punya masa yang panjang.
"Ia akan menjadi satu proses yang panjang dan
semakin menyusut. Tempoh yang diambil kira-kira 100 bilion tahun atau lebih
hingga semua cahaya bintang tidak lagi dihasilkan," katanya.
Sudah diketahui sejak akhir tahun 1990-an lagi,
alam semesta pudar sedikit demi sedikit, bagaimanapun kajian terbaru itu
menunjukkan ia berlaku pada semua ukuran gelombang. Saintis menggunakan tujuh
teleskop paling berkuasa di dunia untuk memantau alam semesta dan membuat
pelbagai jenis pemetaan output tenaga, dari infra merah hinggalah ultra
ungu.
Pemerhatian awal dilakukan menggunakan Teleskop
Anglo-Australian di New South Wales, Australia dan dua teleskop angkasa lepas
yang dikendalikan Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) serta satu lagi
kepunyaan Agensi Angkasa Eropah (ESA) bagi menyokong pemerhatian. Driver
membentangkan hasil kajian itu dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Kesatuan
Astronomi Antarabangsa di Honolulu baru-baru ini.
- AGENSI
0 Response to "Penyelidik DEDAHKAN Usia alam semesta dekati garis penamat"
Catat Ulasan