Irfan memegang gambar anaknya yang kini
berusia 2 tahun. Foto : Sinar Online
ALOR SETAR - Perkenalan singkat dengan seorang
gadis di laman sosial tidak disangka berakhir dengan perkahwinan Syiah.
Seorang usahawan muda, Irfan Amar (bukan nama
sebenar), 30, berkata dia mengenail gadis warga Thailand itu pada 2010 sebelum
bertunang sebulan selepas itu.
Perwatakan gadis 19 tahun tersebut yang lemah
lembut dihiasi dengan sopan santun membuatkan Irfan terpesona pada pandangan
pertama.
Menurut Irfan, tarikh pertunangan dia dan gadis
tersebut ditetapkan oleh ahli keluarga wanita ketika pertemuan kali pertama di
rumah mereka di negara jiran.
“Segalanya bermula perkenalan kami di laman
sosial. Oleh kerana niat ikhlas untuk bernikah dan menamatkan zaman bujang, saya
mengambil keputusan untuk mengenalinya lebih rapat.
“Saya mengambil keputusan untuk ke rumahnya di
Thailand untuk mengenali keluarganya terlebih dahulu. Proses perkenalan itu
berjalan dengan baik,” katanya memetik laporan dari Sinar Online.
Irfan berkata, keraguan mula timbul di hatinya
setelah dia didesak bertunang secara tergesa-gesa sedangkan baru sebulan mereka
berkenalan.
“Setibanya di rumah wanita itu, kami sekeluarga
terkejut apabila niat untuk berkenalan bertukar kepada penetapan tarikh
bertunang.
“Kami menjadi serba salah dan terkejut dengan
cara yang dibuat oleh keluarga wanita itu. Seolah-olah saya dan keluarga
terperangkap,” katanya.
Namun, Irfan dan keluarga bersangka baik dan
meneruskan pertunangan.
“Selepas bertunang, keluarga mereka mendesak
kami lagi supaya pernikahan itu disegerakan seolah-olah tidak memberi kami
peluang menetapkan tarikh, mengenal keturunan mereka dan dipaksa dengan cara
yang amat halus.
“Atas desakan dan singkatnya tempoh perkenalan
itu, kami bertunang dan akad nikah di negara jiran. Saya masih beranggapan baik
pada ketika itu,” katanya.
Irfan berkata dia kemudian bernikah pada 2011
mengikut pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah tanpa dihadiri oleh ahli
keluarga.
“Saya mula menyedari mereka adalah dari
keluarga Syiah apabila kami tidak dibenarkan bersama selagi tidak bernikah kali
kedua iaitu di sebuah rumah dekat belakang Masjid Hutan Kampung, Alor
Setar.
“Akad nikah kali kedua itu pelik apabila ia
dilakukan oleh pasangan perempuan dan dilafazkan dalam bahasa Arab. Dalam akad
itu juga saya terdengar satu perkataan mut’ah iaitu kahwin kontrak,” kata
Irfan.
Irfan kemudian merujuk perkara itu kepada
Pejabat Agama Daerah Kota Setar semasa membuat proses pendaftaran nikah.
“Setelah dinasihatkan oleh pegawai pejabat
agama, saya berasa sedikit tenang dan mengambil langkah berjaga-jaga.
“Bagaimanapun, saya dan isteri sukar menerima
kenyataan serta sering bertengkar mengenai isu sunnah dan Syiah,” katanya.
Selepas berkahwin, isteri Irfan juga turut
mengakui secara terus terang mengamalkan ajaran Syiah selain turut mengaku ibu
bapanya berpegang kepada amalan itu.
“Pernah kami bertengkar mengenai ketaatannya
kepada suami, namun dia menyatakan bahawa syurga seorang isteri terletak pada
bawah kaki ibunya sendiri.
“Tetapi setiap kali bergaduh mengenai fahaman
Syiah dan sunnah, dia menyatakan pula tidak mengikut jejak langkah keluarganya
dan masih pengikut fahaman sunnah. Saya masih ragu mengenai perkara itu,”
katanya.
Irfan juga berkata dia pernah dibawa melawat
markas Syiah di Pendang beberapa kali dan pemimpin itu juga pernah melawat
isterinya ketika melahirkan anak di Hospital Sultanah Bahiyah pada 2013.
“Saya meneliti setiap pergerakannya dalam
melaksanakan tanggungjawab. Anak seringkali dibiarkan menangis dan memandikan
anak pun lebih kurang sahaja.
“Pernah juga dia keluar rumah tanpa keizinan
saya beberapa kali dan sibuk dengan aplikasi laman sosial di telefon pintar,”
katanya.
Irfan berkata, sikap isterinya itu mencabar
nalurinya sebagai seorang suami yang memendam rasa sekian lama dan terpaksa
menceraikan isteri pada 1 April lalu.
“Setelah berpisah, ia menjadi satu tekanan
kepada saya kerana anak perempuan yang kini berusia dua tahun berada dalam
jagaan bekas isteri," katanya.
Irfan berkata dia tidak mempunyai bukti kukuh
berhubung dakwaan itu bagi mendapatkan hak penjagaan anaknya.
“Mungkin saya tidak banyak bukti, tapi di rumah
mertua memang tersimpan banyak kitab Syiah," katanya sambil berkata dia berharap
mendapat bantuan dari pihak tertentu bagi mendapatkan semula hak penjagaan anak
perempuannya. - Sinar Harian
0 Response to "Teman Wanita Desak Bertunang Dengan Segera Akhirnya Membongkar Rahsia"
Catat Ulasan