Pelakon Erin Malek
selamat melahirkan anak lelaki pertama semalam dan turut mengumumkan seorang
lagi anak kembarnya telah meninggal dunia semasa kandungannya mencecah usia 16
minggu kehamilan.
Erin yang sebelum ini dilaporkan
mengandung anak kembar mengesahkan perkara tersebut menerusi akaun Instagramnya
yang memaparkan foto dia memegang bayinya sambil diperhatikan
suaminya.
"Alhamdulillah, ia adalah detik yang
tidak boleh dilupakan untuk saya dan Farriz. Kami ingin memperkenalkan dan
mengucapkan selamat datang kepada putera kecil kami, Mohamed Faliq bin Mohamed
Farriz," tulisnya.
Erin turut memberitahu, kembar kepada
bayinya itu meninggal dunia pada usia 16 minggu kandungan.
"Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa
kembar bayi saya meninggal dunia pada usia 16 minggu kandungan kerana jantungnya
berhenti berdegup akibat cecair berlebihan di dalam perut sehingga menyebabkan
seluruh badannya bengkak.
"Bagaimanapun, atas nasihat doktor,
saya masih boleh meneruskan kandungan itu melalui kehamilan 9 bulan tanpa
menjejaskan kembarnya yang lagi satu," katanya.
Tambahnya lagi, perasaannya bercampur
baur menghadapi perkara tersebut dan apabila melihat anak lelakinya itu, dia
pasti mengingatkannya kepada kembar bayinya itu.
Bagaimanapun, pasangan tersebut percaya
ALLAH mempunyai perancangan yang lebih baik untuk mereka dan kedua bayinya
itu.
"Kami ingin merakamkan ucapan terima
kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan seluruh peminat yang memberikan sokongan
penuh dan doa," ujarnya.
0 Response to "Takziah .. salah seorang bayi kembar Erin meninggal dunia"
Catat Ulasan